Guru jangan terpengaruh program motivasi tidak jelas - Utusan Malaysia

Guru jangan terpengaruh program motivasi tidak jelas

FADHLINA Sidek (tengah) ketika mengadakan lawatan ke SMK Taman Widuri di Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Semua guru dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dalam menyertai sebarang program motivasi atau bimbingan yang tidak diketahui pengisiannya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihak kementerian telah menyediakan pelbagai program pembangunan dan motivasi bersesuaian untuk para guru berpandukan objektif pendidikan.

“Kita (guru-guru) kalau boleh tidak perlu terlibat dengan program-program motivasi yang kita tidak tahu daripada segi pengisian dan substansinya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau guru-guru rasa tak cukup motivasi, datang jumpa saya. Saya boleh bagi motivasi,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Widuri di Sungai Bakap di sini, hari ini bagi melihat keberkesanan Program Anak Kita.

Fadhlina diminta mengulas sama ada terdapat pembabitan guru-guru dalam program motivasi rumah tangga (eHATI) yang dikaitkan dengan perbuatan mencolok mata dan syirik.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, bahawa tumpuan sepenuhnya harus diberikan kepada usaha memperkukuh kekuatan serta semangat para pendidik dalam ekosistem pendidikan yang sedia ada ke arah suasana yang lebih terancang dan selamat.

“Banyak sebenarnya program-program pembangunan yang direncanakan buat guru-guru ini dan saya fikir, kalau ada program-program yang tidak sesuai itu perlu dielakkan.

“Jadi, nasihat saya, berhati-hati menyertai program-program di luar dan kita bagi tumpukan kepada motivasi dalam pendidikan kita, Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan program motivasi dan bimbingan, dikatakan dikendalikan pasangan suami isteri, didakwa menyebarkan ajaran sesat dan menyasarkan golongan wanita bekerja serta berdepan krisis rumah tangga. 

Bekas ahli program itu menerusi Facebook mendedahkan ajaran terbabit dikatakan berselindung di sebalik program keluarga bahagia, seni cinta rumah tangga dan motivasi kepada wanita. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini