PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu lebih berhati-hati dalam mencadangkan individu bagi menjawat jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, gesaan tersebut dibuat susulan kebocoran minit mesyuarat Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (SPK) yang mengandungi dakwaan serius mengenai kemungkinan campur tangan kehakiman melibatkan seorang hakim kanan.
Katanya, apa yang membimbangkan sekiranya calon tersebut mempunyai masalah integriti dan boleh dipersoalkan.
“Umum mengetahui bahawa pelantikan-pelantikan ini dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, nasihat Perdana Menteri amat penting dan mesti dibuat dengan penuh berhati-hati, memandangkan betapa seriusnya dakwaan yang dikaitkan dengan hakim yang disebut dalam minit bocor tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramkarpal dalam masa yang sama berkata, satu siasatan yang menyeluruh dan telus perlu dilaksanakan ekoran dakwaan berkenaan kebocoran minit mesyuarat SPK itu.
Menurutnya, kegagalan menangani isu ini dengan tuntas boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap komitmen reformasi kerajaan Madani.
Malah Ramkarpal dalam masa yang sama kesal kerana sehingga kini tiada kenyataan dikeluarkan berhubung siasatan kandungan minit berkenaan terutama dakwaan campur tangan dalam proses pelantikan kehakiman.
“Kita tidak boleh hanya fokus kepada siapa yang mendedahkan maklumat, tetapi juga harus memberi perhatian serius terhadap isi kandungannya yang melibatkan tuduhan berat dan mempunyai implikasi besar terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.
“Dakwaan tersebut adalah sangat serius kerana ia melibatkan asas integriti sebuah institusi utama dalam sistem demokrasi, iaitu badan kehakiman dan rakyat berhak mengetahui sama ada dakwaan itu benar atau tidak.
“Dalam keadaan ini, kerajaan tidak boleh dilihat sambil lewa dalam usahanya untuk melindungi integriti badan kehakiman, dan segala usaha mesti dilakukan bagi memastikan siasatan terhadap minit yang bocor itu dijalankan secara menyeluruh dan telus,” katanya. – UTUSAN











