Aktivis pro-Palestin belayar dari Itali ke Gaza bawa bantuan

Aktivis pro-Palestin belayar dari Itali ke Gaza bawa bantuan kemanusiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYRACUSE: Sebuah bot yang membawa aktivis pro-Palestin dan bekalan bantuan kemanusiaan telah meninggalkan Sicily pada Ahad dalam usaha terbaharu mencabar sekatan laut yang dikenakan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Bot bernama Handala itu berlepas dari pelabuhan Syracuse sekitar pukul 12 tengah hari waktu tempatan, menurut laporan wartawan AFP, dengan kira-kira 15 aktivis di atas kapal.

Bot ini dikendalikan oleh Freedom Flotilla Coalition, yang turut menguruskan misi sebelum ini melibatkan kapal Madleen yang juga bertujuan menembusi sekatan Israel ke atas Gaza.

Ratusan orang berkumpul di pelabuhan bagi menyaksikan keberangkatan kapal dengan sebahagiannya memegang bendera Palestin dan memakai selendang keffiyeh sambil melaungkan “Bebaskan Palestin!”

Bot bekas penunda ikan dari Norway itu dilaporkan membawa bekalan perubatan, makanan, kelengkapan kanak-kanak dan ubat-ubatan untuk penduduk Gaza. Ia dijangka belayar kira-kira seminggu di Laut Mediterranean, merentasi jarak lebih 1,800 kilometer dalam usaha mencapai pesisir pantai Gaza.

Bot Handala akan singgah di Gallipoli, tenggara Itali, di mana dua ahli parti sayap kiri Perancis, La France Insoumise dijangka menyertai misi pada 18 Julai.

“Misi ini adalah untuk kanak-kanak Gaza, untuk memecahkan sekatan kemanusiaan dan memecah kesenyapan musim panas terhadap genosid yang sedang berlaku,” kata Gabrielle Cathala, salah seorang daripada ahli politik Perancis yang akan menaiki bot tersebut.

“Saya berharap kami berjaya sampai ke Gaza, tetapi jika tidak, ia tetap akan mendedahkan satu lagi pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel,” tambahnya.

Inisiatif ini hadir enam minggu selepas kapal Madleen yang turut membawa aktivis terkenal seperti Greta Thunberg dan Ahli Parlimen Eropah Perancis-Palestin, Rima Hassan berlepas dari Itali ke Gaza.

Kapal itu dipintas oleh pihak berkuasa Israel pada 9 Jun, kira-kira 100 batu nautika dari pantai Gaza, selepas enggan mematuhi arahan untuk berpatah balik.

Israel kemudian menunda kapal tersebut ke Pelabuhan Ashdod dan menahan 12 aktivis di atasnya sebelum menghantar pulang mereka dalam beberapa hari berikutnya.

Pihak berkuasa Israel menyifatkan usaha itu sebagai ‘gimik publisiti’ dan menyatakan bahawa jumlah bantuan kecil yang dibawa telah dihantar ke Gaza melalui saluran darat yang diluluskan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×