PETALING JAYA: Agensi Pencarian Bakat Singapura kini dipercayai sedang ‘memburu’ doktor dan jururawat berkualiti dan berpengalaman negara ini untuk bekerja di republik itu dengan tawaran gaji serta elaun yang lebih tinggi.
Ini terbukti apabila agensi dari negara jiran itu bakal mengadakan sesi temuduga terbuka bagi pengambilan doktor berpengalaman di sebuah hotel di Kuala Lumpur bulan depan dengan iklan menawarkan pakej tahunan SGD110,000 (RM365,106) bersama perumahan dan faedah lain.
Permintaan tinggi oleh doktor dan jururawat tempatan terhadap peluang tenaga kerja kesihatan di Singapura juga mendorong negara itu giat mengintai bakat berkualiti Malaysia, selain bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan di negara itu.
Bagaimanapun, tindakan agensi dari negara jiran itu mahu merekrut doktor dan jururawat tempatan mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan sistem kesihatan awam negara ini.
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak menyifatkan tindakan itu sebagai satu kerugian besar apabila doktor dilatih di Malaysia akhirnya berkhidmat di luar negara, bukan untuk rakyat tempatan.
“Ramai doktor muda sudah berhijrah dan lebih ramai berminat hadir temu duga ini. Ini satu realiti yang menggambarkan kegagalan sistem kesihatan awam menjaga kebajikan mereka.
“Tawaran gaji dan faedah di Singapura jauh lebih kompetitif berbanding di Malaysia, termasuk elaun oncall yang jauh lebih tinggi untuk tempoh kerja sama panjang.
“Elaun oncall di Malaysia cuma RM200 untuk kerja selama 33 jam, tetapi di Singapura diberikan sebanyak SGD300 atau RM900. Kalau hujung minggu pula, sini RM220 tapi sana SGD480. Perbezaan ini terlalu besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, kerajaan perlu berbelanja lebih dalam memperbaiki sistem kesihatan termasuk menaikkan elaun, menyediakan kemudahan sewajarnya serta menghentikan pendekatan penjimatan keterlaluan dalam sektor ini.
Kelmarin tular di media sosial mengenai sesi temuduga tersebut yang disertakan dengan tawaran pakej menarik termasuk gaji permulaan SGD110,000 setahun (kira-kira RM385,000), tidak termasuk elaun penginapan bulanan, insurans dan pelbagai manfaat lain.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira pula berkata, ramai doktor dan jururawat mencari peluang di negara jiran kerana mahu mendapatkan gaji dan imbuhan lebih lumayan berbanding Malaysia yang masih rendah.
Katanya, kesannya terhadap sistem kesihatan awam Malaysia adalah amat besar dan tidak boleh dipandang ringan.
“Ketika ini, negara sedang mengalami kekurangan kritikal tenaga kerja kesihatan di banyak fasiliti awam. Keadaan ini amat ketara di Sarawak dan Sabah, sehingga mencetuskan gesaan agar diberikan lebih kuasa autonomi kepada negeri-negeri ini untuk mengisi kekosongan Pegawai Perubatan (MO) dan pakar yang telah lama tertangguh.
“Kehilangan lebih ramai profesional perubatan ke negara jiran serta ke United Kingdom, Australia dan Ireland hanya akan memburukkan lagi sistem penyampaian kesihatan awam negara,” katanya.
Dr. Kalwinder berkata, tidak dinafikan penghijrahan tenaga kerja merupakan hak individu, bagaimanapun kerajaan perlu memandang serius trend tersebut kerana memberi kesan besar terhadap sistem kesihatan awam negara meskipun MMA berulang kali menekankan isu kekurangan tenaga kerja kesihatan.
“Meskipun Singapura telah lama merekrut tenaga kerja kesihatan dari Malaysia, usaha mereka kini semakin agresif dipercayai akibat peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan di negara itu,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Kalwinder menggesa KKM menyelesaikan segera beberapa isu kebajikan doktor kerajaan antaranya isu ketidaksamarataan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) yang timbul akibat perubahan struktur gaji di bawah Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Dalam usaha menambah bilangan pakar, MMA turut mencadangkan supaya program pengkhususan melalui laluan selari (parallel pathway) dibenarkan tanpa syarat wajib Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) seperti yang dilakukan sebelum ini.
Beliau turut menggesa supaya dasar sedia ada dipinda bagi membolehkan bayaran balik kos perjalanan dan penghantaran barang diberikan kepada doktor yang bertukar negeri terutama dari jawatan kontrak ke tetap antara Semenanjung dan Sabah atau Sarawak. – UTUSAN










