UMT bangunkan Rumah Wakaf Alumni bantu pelajar asnaf, alumni muda

UMT bangunkan Rumah Wakaf Alumni bantu pelajar asnaf, alumni muda

MOHD. Zambri Ibrahim (dua dari kanan) sewaktu pertukaran surat niat antara HEPA dan UMT SEA Sdn. Bhd. dalam Majlis UMT Grand Alumni Homecoming 2025: Golden Threads of Yesterday di Royale Chulan Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah Rumah Wakaf Alumni akan dibina berhampiran kampus Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi menyediakan kediaman kepada pelajar asnaf dan alumni muda.

Naib Canselor UMT, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, rumah itu bakal didirikan di Kampung Tok Jembal dengan kos anggaran RM500,000 hasil sumbangan dan sokongan warga alumni.

Menurutnya, usaha itu sebahagian Projek Khas Wakaf Ilmu: Rumah Pendidikan dan Kebajikan Alumni UMT yang menzahirkan kasih sayang serta tanggungjawab sosial terhadap kelestarian pendidikan tinggi.

“Rumah ini membantu pelajar asnaf, alumni muda masih mencari kerja dan kakitangan sementara yang memerlukan penempatan sementara secara percuma dalam suasana selesa dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis UMT Grand Alumni Homecoming 2025: Golden Threads of Yesterday di Royale Chulan Kuala Lumpur, semalam.

Majlis anjuran Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) itu turut menyaksikan pelancaran pra penerbitan majalah alumni rasmi UMT bertajuk SAUH yang menghimpunkan kisah inspirasi dan pembangunan semasa.

Tambah Mohd. Zamri, beliau turut mengumumkan penubuhan inisiatif bantuan sokongan baharu dinamakan Alumni Kasih yang memberi bantuan one-off kepada anak alumni menyambung pengajian di UMT mulai tahun ini.

“Inisiatif tersebut melengkapi penubuhan Tabung Kebajikan Alumni yang telah membantu lebih 130 alumni melalui bantuan rawatan, kematian, yuran pengajian dan kemusnahan harta benda lain,” katanya.

Pada majlis sama, turut dimeterai pertukaran surat niat antara HEPA dan UMT SEA Sdn. Bhd. membolehkan alumni mengikuti kursus jangka pendek dengan potongan yuran pendaftaran istimewa ditawarkan.

Mohd. Zamri turut mengumumkan kejayaan UMT tersenarai dalam kelompok 801–850 terbaik dunia menerusi QS World University Rankings 2026 hasil pengiktirafan global terhadap kecemerlangan akademik universiti.

“UMT turut tersenarai dalam kelompok 100 terbaik dunia dan ke-20 terbaik Asia dalam bidang Biologi Marin dan Air Tawar, membuktikan keunggulan dalam sains kelautan,” katanya.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pro Canselor, Tan Sri Datuk Seri Mohd. Zuki Ali dan Pengerusi Lembaga Pengarah, Prof. Dr. Mohamad Salmi Sohod dan Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof. Dr. Mohd. Izani Mohd Zain, serta barisan pengurusan tertinggi universiti.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×