MALAYSIA menyasarkan untuk menjadi sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030, sebagaimana yang digariskan dalam Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030. Untuk merealisasikan aspirasi ini, negara bukan sahaja perlu memiliki kemudahan teknologi canggih, malah memerlukan kelompok bakat muda tempatan yang berwibawa, kreatif dan inovatif yang mampu membangunkan negara berteraskan sains, teknologi dan inovasi (STI).
Sejajar dengan usaha ini, sumbangan anak muda diiktiraf melalui Anugerah Saintis Muda Negara (ASMN), anugerah tahunan yang menghargai kecemerlangan saintis muda dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam STI.
Tahun ini, kriteria pencalonan anugerah disemak semula selaras dengan perubahan dan keperluan semasa serta menarik lebih ramai pencalonan daripada institusi penyelidikan dan syarikat swasta yang melaksanakan R&D dalam bidang STI.
Pencalonan terbuka kepada saintis warganegara Malaysia di bawah umur 40 tahun pada tahun pertandingan.
Calon perlu menjalankan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) di pusat penyelidikan dan institusi pengajian awam dan swasta di Malaysia. Pencalonan perlu relevan dan mempunyai sumbangan yang signifikan kepada pembangunan dan kemajuan industri, masyarakat atau negara.
Calon juga perlu berketerampilan serta mempunyai daya kreativiti, inovasi dan kompetensi sebagai seorang penyelidik yang berkaliber. Setiap kategori anugerah akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 seorang, plak, sijil dan geran dana penyelidikan sehingga RM1 juta tertakluk kepada terma dan syarat Jawatankuasa Dana MOSTI).
Usaha ini dalam memastikan Malaysia terus melahirkan saintis muda yang berdaya cipta, berinovasi serta mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Pendaftaran pencalonan kini dibuka sehingga 29 Ogos 2025 dan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi MOSTI di www.mosti.gov.my. Saintis muda yang layak digalakkan untuk mencalonkan diri atau dicalonkan oleh institusi masing-masing mengikut kriteria yang ditetapkan. – UTUSAN
KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI
DAN INOVASI










