LONDON: Seramai 60 ahli Parlimen Parti Buruh Britain menggesa kerajaan Britain segera mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, susulan perkembangan membimbangkan di Gaza dan kenyataan kontroversi Menteri Pertahanan Israel baru-baru ini.
Menurut laporan The Guardian, gesaan itu disampaikan menerusi sepucuk surat kepada Setiausaha Luar Britain, David Lammy pada Khamis lalu.
Dalam surat tersebut, ahli Parlimen terbabit yang terdiri daripada pelbagai aliran dalam Parti Buruh termasuk golongan sederhana dan kiri menuduh Israel melakukan pembersihan etnik di Gaza dan mendesak tindakan segera bagi menghalang pemindahan paksa rakyat Palestin ke kawasan runtuhan di Rafah.
“Dengan rasa cemas dan mendesak, kami menulis kepada anda berhubung kenyataan Menteri Pertahanan Israel pada Isnin lalu mengenai rancangannya untuk memindahkan secara paksa semua rakyat Palestin di Gaza ke sebuah khemah di bandar Rafah yang musnah, tanpa memberi mereka pilihan untuk keluar,” kata kenyataan itu.
Surat itu dianjurkan oleh kumpulan “Labour Friends of Palestine and the Middle East”, dan ditandatangani oleh beberapa tokoh terkenal parti termasuk Pengerusi Bersama kumpulan itu, Sarah Owen dan Andrew Pakes, serta Liam Byrne yang mengetuai Jawatankuasa Pilihan Perniagaan dan Perdagangan.
Mereka mengemukakan lima tuntutan utama kepada kerajaan, termasuk yang selari dengan dasar semasa seperti meneruskan dana kepada Agensi Bantuan dan Kerja Raya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) serta usaha membebaskan tebusan yang ditahan Hamas.
Namun beberapa tuntutan lain dijangka mencetuskan perdebatan politik di Parlimen Westminster, antaranya gesaan supaya kerajaan mengenakan sekatan perdagangan terhadap penempatan haram Israel di Tebing Barat serta memberi pengiktirafan segera kepada Palestin sebagai negara berdaulat.
“Dengan tidak mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara, kita sebenarnya melemahkan dasar kita sendiri tentang penyelesaian dua negara dan membiarkan status quo berterusan sehingga wilayah Palestin terhapus dan dianeksasi secara berterusan,” tegas mereka.
Kerajaan Britain sebelum ini menyatakan sokongan kepada pengiktirafan negara Palestin tetapi hanya akan melakukannya pada masa yang memberi impak maksimum dan selaras dengan proses damai antarabangsa bersama rakan sekutu.
Gesaan ahli Parlimen dari Parti Buruh ini dibuat hanya beberapa hari selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron turut menyuarakan perkara sama ketika lawatan negara ke Britain.
Ini merupakan kali kedua kumpulan ahli Parlimen Parti Buruh menghantar surat mendesak pengiktirafan Palestin dalam tempoh beberapa minggu, namun kali ini mereka secara terbuka mendedahkan nama penandatangan. -AGENSI










