‘Kami tidak langgar disiplin parti’

‘Kami tidak langgar disiplin parti’

ZAHIR HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sembilan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membuat gesaan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara tidak melanggar sebarang disiplin parti.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan berkata, isu yang dibangkitkan merupakan perkara yang sudah diketahui umum dan boleh memberi kesan langsung kepada rakyat serta negara dalam jangka masa pendek dan panjang.

“Kami hanya mencadangkan beberapa pendekatan yang berada dalam ruang lingkup perlembagaan seperti penubuhan RCI, rujukan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen serta memberikan ruang kepada rakyat menyatakan pandangan melalui petisyen dalam talian.

“Malah, tindakan ini memberi peluang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan perkara sebenar dan menamatkan persepsi yang timbul dengan fakta serta maklumat yang tepat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Sebelum ini, seramai 19 Ke­tua PKR Cabang di Johor menggesa supaya siasatan tatatertib dan penggantungan sementara keahlian dikenakan terhadap sembilan ahli Parlimen terbabit.

Dalam kenyataan bersama, tindakan sembilan ahli Parlimen itu disifatkan sebagai melangkaui batas disiplin parti serta bercanggah dengan Kod Tataetika Anggota PKR di bawah Perkara 10.1 dan 10.2.

Zahir berkata, gesaan menerusi sidang akhbar itu dibuat secara berhemah dan tertakluk kepada saluran sedia ada.

Katanya, sekiranya kepemimpinan PKR berasakan terdapat pelanggaran disiplin, maka ia perlu melalui prosedur atau proses ditetapkan seperti dalam perlembagaan parti.

“PKR mempunyai prosedur jelas menerusi Jawatankuasa Disiplin untuk meneliti perkara itu sebelum disyorkan kepada Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) bagi sebarang tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kepimpinan seharusnya memberi tumpuan kepada kes pelanggaran disiplin yang lebih jelas dan serius.

“Ini termasuk video tular membabitkan seorang Ketua Cabang yang menuduh Pre­siden menerima wang kotor daripada ahli perniagaan. Ramai yang masih menunggu tindakan disiplin terhadap kes seperti ini yang jauh lebih berat dan jelas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×