Tuk Tak! Tuk Tak! Shreettt!

Tuk Tak! Tuk Tak! Shreettt!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tuk Tak! Tuk Tak! Shreettt!
Tuk Tak! Tuk Tak! Shreettt!

Masih saya ingat bunyi itu. Bunyi yang telah membuatkan saya terjaga daripada tidur tatkala jam di dinding menunjukkan pukul 4 pagi. Tak lama lagi, beduk di surau akan bergema di seluruh pelosok kampung menandakan masuknya waktu Imsak.

Tuk Tak! Tuk Tak! Shreettt!

Tuk Tak! Tuk Tak! Shreettt!

Mata saya tidak lagi terasa berat dek ‘irama’ ketukan dan lerekan itu. Rasa kantuk saya juga serta merta hilang. Dingin subuh langsung tidak memberatkan tubuh saya untuk tidak bangun daripada ranjang. Perlahan-lahan, saya menapak ke arah ayah.

Ayah langsung tidak perasan kehadiran saya. Dalam samar-samar cahaya liuk lentuk pelita minyak tanah, ayah menumpahkan sepenuh perhatian pada mesin taipnya. Sesekali ayah akan memulas tombol pada hujung carriage mesin taipnya. Begitulah ayah ketika mengerjakan sesuatu dengan mesin taipnya. Seluruh alamnya seolah-olah terjeda dan dia hanya berada di dalam dirinya.

Ayah seorang jurutaip terkenal di Kampung Hangus, Kupang, Kedah. Semua orang kenal Encik Azhar Abdullah kerana ayah satu-satunya figura yang mempunyai lesen menaip ketika itu. Walaupun kawan-kawan jurutaip ayah ada membuka servis mereka di pekan Baling kerana lebih ramai orang di sana, tapi ayah hanya menjadikan rumah kami sebagai tempat kerjanya. Kata ayah, orang kampung di sini susah untuk ke pekan disebabkan tak berduit. Jadi, biarlah dia memudahkan urusan mereka.

Populariti ayah sebagai jurutaip memberi tempias kepada kami anak-beranak. Syarat utama menjadi jurutaip adalah wajib pandai membaca dan ayah jugalah di antara lima orang dalam 300 orang kampung yang pandai serta lancar membaca dan mengeja. Secara tidak langsung, orang kampung juga menganggap semua anak-anak Encik Azhar turut pandai membaca. Jadi, kadang-kadang orang kampung meminta saya membaca surat yang mereka terima.

“Yah, tak tidur ke?” Tanya saya memecahkan lamunannya. Saya fikir ayah akan berhenti daripada mengetuk papan kekuncinya. Namun, tidak.

“Kejap lagilah.” Jawab ayah ringkas tanpa mengalihkan perhatiannya daripada mesin taip itu.

“Lagi beberapa jam masuk Subuh, Yah. Pergilah tidur dulu. Kejap lagi ayah hendak pergi kerja pula.” Saya cuba memujuk ayah yang sudah menginjak 55 tahun. Walaupun umurnya sudah lewat, namun matanya masih terang dan tajam. Ayah tidak memakai kaca mata biarpun melakukan kerja dalam keadaan malap dan jarang sekali ayah melakukan kesalahan sewaktu menulis surat.

“Tak apa lah. Selesai isi borang sambung belajar anak Kak Limah ini, ayah rehat kejap. Waktu Dhuha nanti, ayah boleh tidur. Selalunya tak ada sangat orang nak tulis surat waktu tu.” Ayah masih berkeras.

“Anak Kak Limah? Kak Limah yang pernah fitnah ayah jadi pencuri tu ke?” Sesungguhnya saya terkejut bercampur tidak puas hati dengan reaksi ayah.

“Rijal, tak baiklah cakap macam tu.” Ayah berhenti menaip dan kini barulah dia mengangkat mukanya seraya memandang saya. Saya mendiamkan diri menanti ayat-ayat pertahankan tindakannya.

“Dia kan sudah minta maaf? Lagipun ini borang untuk anak dia sambung belajar. Besar tanggungjawab ayah untuk tolong dia.”

Saya menghela nafas tanda kesal dan masih belum puas hati dengan alasan itu. Begitu jugalah ayah, pantang ada yang minta tolong. Mesti dia akan lakukan sebaiknya. Walhal, orang-orang yang meminta tolong itu langsung tidak menolongnya kembali.

“Ayah ini, baik sangat lah. Apa yang ayah dapat kalau buat baik dengan orang? Orang baik ni selalu kena pijak, Yah.”

Angin subuh pada hari itu seolah-olah minyak tanah yang sedang membarakan panas baran muda saya. Entah kenapa sakit hati saya terhadap keluarga Kak Limah tidak pernah berkurang mengenangkan kelakuannya terhadap ayah dan keluarga kami. Dan pada pagi ini, ayah mengorbankan waktu rehatnya untuk membantu keluarga perempuan yang berlagak hartawan dan mulut murai itu.

“Jal, ayah percaya kita ini hidup atas kebaikan orang lain. Ayah hidup baik hari ini sebab datuk dan opah dulu orang baik yang selalu tolong orang walaupun orang sekeliling tidak membalas kebaikan mereka dengan perkara-perkara baik.” Ayah berhenti seketika sebelum menyambung semula khutbah sebelum Imsaknya.

“Buat baik tak akan merugikan kita atau sesiapa pun. Malah, kalau kita buat baik, kebaikan itu akan datang kepada orang yang kita sayang. Ayah buat baik sebab ayah nak Jal, emak dan adik-adik lain juga dilimpahkan kebaikan. Kalau tidak kebaikan itu datangnya dari manusia, pastinya kebaikan itu akan dibalas Tuhan. Jadi, Jal kena sentiasa menjadi baik tak kira dengan siapa pun supaya ayah dan orang yang Jal sayang akan diberikan kebaikan.”

Saya termanggu, terkelu dan tidak tahu bagaimana lagi untuk meningkah. Kata-kata ayah sangat sederhana. Nadanya biasa tapi menenangkan dan penuh pengajaran. Baran saya yang mebuak-buak sehingga panas cuping

telinga tadi juga reda tak serta-merta.

Tuk Tak! Tuk Tak! Shreettt!

Tuk Tak! Tuk Tak! Shreettt!

Ayah kembali menumpahkan perhatian pada mesin taipnya. Mengisi maklumat-maklumat perihal anak Kak Limah sebaiknya. Saya tidak mahu lagi menganggu perhatiannya. Lalu, saya mengatur langkah kembali ke kamar untuk bersiap sedia menunaikan solat subuh.
***

3 Petang, Sabtu.

“Assalamualaikum, Che Ad ooo Che Ad!” Laung satu suara perempuan dari bawah rumah.

Tika itu, saya sedang menyiapkan kerja sekolah di halaman rumah. Ayah pula sedang terlelap di ruang tamu. Kami baru saja selesai makan tengah hari dan sudah menjadi resam keluarga untuk duduk dan berkumpul di situ pada hujung minggu melakukan kegiatan masing-masing.

“Assalamualaikum! Assalamualaikum!” Gema suara itu lagi. Kali ini nadanya sangat menggesa dan resah. Emak pantas bangun dan membuka pintu rumah.

“Waalaikumussalam, oh, Cik Yam! Kenapa Cik Yam?” Soal emak sambil cepat-cepat melilit sehelai kain pada kepalanya.

“Che Ad ada? Aku nak minta tolong dia tulis surat. Penting ni Siah.”

“Alah, Siah. Bang Ad baru nak rehat. Kami baru makan tengah hari ini, Siah. Kamu boleh datang petang sikit?”

“Tak boleh, Siah. Penting ini. Aku minta tolong kejap saja, Siah. Aku janji lepas selesai ni aku balik terus.”

Ayah seolah-olah mendengar rayuan Cik Yam. Perlahan-lahan kelopak matanya terbuka.

“Siapa itu, Siah?” Soal Ayah seraya bangun dari pembaringannya.

“Ni ha, Cik Yam. Dia nak minta awak tuliskan surat. Saya cakap awak tengah rehat ni.”

“Tak apa lah. Suruh dia naik dulu. Saya masuk bilik ambil mesin taip kejap.” Ujar ayah.

Emak mempersilakan Cik Yam naik ke rumah. Ketika Cik Yam melangkah ke ruang tamu, saya melihat wajah Cik Yam lebam sana sini. Hujung bibirnya biru dan ada kesan darah kering, seolah-olah baru lepas ditumbuk dan dipukul. Namun, mata Cik Yam kering daripada sebarang air mata.

“Ha kenapa, Yam? Kau nak aku tulis surat apa?” Ayah keluar dengan baju kemeja lengan pendek dan berseluar slack. Ayah sangatlah menjaga profesionalnya. Tidak kiralah waktu bila, tempatnya di mana dan siapa yang meminta, ketika dia perlu menukang mesin taip, pakaiannya turut berubah. Seolah-olah, itulah pakaian rasmi seorang jurutaip.

“Aku nak minta tolong kau tulis surat untuk jual tanah aku. Tadi orang Ah Siong dah datang minta aku selesaikan hutang Abang Man.” Cerita Cik Yam.

“Rijal, Hanim, Sarah pergi masuk bilik. Sambung buat kerja sekolah dekat bilik. Jal, tengokkan adik-adik itu” Arah emak. Saya faham mengapa emak memerintahkan kami sedemikian rupa. Emak tidak mahu Cik Yam rasa malu atau segan untuk bercerita masalah yang dihadapinya. Emak sendiri tidak berada di ruang tamu kerana selepas kami masuk ke bilik, emak turun ke dapur untuk menyediakan minuman kepada Cik Yam.

Saya yang bersifat penuh tanda tanya cuba mendekatkan telinga dinding yang memisahkan bilik dengan ruang tamu. Walaupun tak jelas, dapatlah saya dengar hujung-hujung perkataan yang terbit dari mulut Cik Yam.

“Tak bai lah bang pasang telinga macam tu.” Hanim memarahkan tindakan aku.

“Nanti Sarah report dekat mak baru abang tahu.” Sarah pula mengugut.

“Janganlah. Abang nak tahu apa masalah Cik Yam. Kan Cik Yam, mak Naim yang kawan abang itu. Mana tahu ada benda yang boleh abang tolong dia nanti.” Saya cuba memberi alasan sebaiknya agar mereka mengunci mulut daripada melaporkan tindakan saya. Takut juga saya dilibas dengan paip getah kerana mendengar masalah orang tua. Tapi, itu lah yang saya suka.

“Aku tak tahu hendak cakap macam mana dah dengan Abang Man tu. Kaki judi, kaki minum, semua ada. Habis duit aku sebab dia. Hari itu aku gadai gelang pusaka sebab bayar hutang judi dia. Hari ini aku terpaksa gadai tanah pusaka pula untuk selesaikan hutang dia.” Cik Yam bercerita dengan satu nafas sahaja.

“Kau tak nak lapor kepada polis?” Tanya ayah ringkas.

“Aku takutlah, Che Ad. Kalau dia tahu aku laporkan kepada polis, aku takut dia bunuh aku dengan anak-anak aku nanti. Sebelum ni dia pernah ugut nak bakar rumah kalau aku cerita perangai dia dekat penghulu atau polis. ” Che Yam meluahkan keresahannya.

“Kalau dia kena tangkap, kau ada punca pendapatan nak sara anak-anak kamu?” Tanya ayah seolah-olah sedang menyiasat.

“Sekarang ini aku yang menyara keluarga. Jadi, memang aku ada pendapatan aku sendiri.” Jawab Cik Yam.

“Tanah mana yang kau nak jual itu, Yam? Aku nak tulis dalam surat ini?”

“Tanah sebelah rumah aku itu.”

“Bukan rumah kau separuh dalam tanah itu ke? Kalau kau jual rumah itu, nanti kau pula kena halau. Mana kau nak duduk anak-beranak?”

“Aku dah bincang dengan Ah Siong. Tanah ini aku nak pajak dekat dia kejap sementara aku cari duit lain. Lepas dapat duit nanti, aku tebuslah balik.”

Ayah tidak bertanya apa-apa lagi selepas mendengar penerangan Cik Yam. Dia membetulkan posisi duduknya dan memasukkan kertas pada carriage mesin taip. Kemudian, dia memusingkan tombol mesin taip membetulkan posisi kertas A4 berwarna keperangan itu. Setelah itu, dia memeriksa riben dakwat sama ada masih baik atau tidak. Selepas berpuas hati dengan semuanya, barulah ayah memulakan tugasannya.

Tuk Tak! Tuk Tak! Shreettt!

Tuk Tak! Tuk Tak! Shreettt!

15 minit kemudian, ayah melipat kertas yang selesai ditukangnya. Kemudian, dia memasukkan dalam sekeping sampul surat dan menyerahkan kepada Cik Yam.

“Yam, kau bagi ini kepada penghulu. Aku rasa dia boleh beli tanah kau ini.” Arah ayah kepada Cik Yam.

“Aku tak nak jual tanah ini, Che Ad. Aku cuma nak pajak dengan Ah Siong.” Cik Yam berkeras menolak saranan ayah.

“Tak apa, Yam. Kau bagi dulu dekat penghulu. Kau pun tahu kan penghulu kita boleh diminta tolong. Insya- Allah, dia akan tolong kau anak-beranak. Tak payah risau, tanah kau selamat.”

“Baiklah kalau macam tu. Terima kasih, Che Ad.”

“Kejap.” Ayah meminta Cik Yam menunggu sebentar sementara dia masuk ke dalam biliknya. Beberapa detik kemudian, dia keluar semula.

“Nah, ambil ini buat belanja anak-beranak!” Ayah menyerahkan sekeping RM10.

“Allahuakbar, Che Ad. Jangan macam ini Che Ad. Urusan tulis surat ini pun entah bila saya boleh bayar. Aku tak nak terima Che Ad.” Cik Yam bersungguh-sungguh menolak.

“Tak boleh. Kamu itu dalam kesusahan. Aku wajib tolong kamu. Sebab waktu aku susah beli mesin taip itu hari, arwah ayah kamu lah antara orang yang tolong aku. Dia antara orang yang terawal hulurkan duit untuk aku beli mesin ni. Aku dapat duit ini pun sebab usaha ayah kamu yang nak aku jadi jurutaip.”

Kalau tadi, Cik Yam seolah-olah wanita besi yang langsung tidak berair mata walaupun baru sahaja disepak terajang oleh suaminya. Tapi sekarang, Cik Yam menangis teresak-esak mendengar cerita ayah.

“Terima kasih, Che Ad. Terima kasih Norsiah.” Cik Yam menangis semahu-mahunya sambil memeluk emak yang baru tiba dari dapur selepas menyediakan segelas teh ‘o’ kepada Cik Yam.
***

Lima hari selepas Cik Yam datang ke rumah kami.

Jam dinding baru berdenting empat kali menandakan pukul 4 petang. Suasana kampung pada waktu itu sedikit sepi kerana masing-masing keletihan menjalankan rutin hari minggu. Ada yang sedang beristirahat usai perkebunan. Anak-anak muda dan kanak-kanak pula sedang mengumpul tenaga selepas pulang sekolah sebelum mahu bermain di sungai dan padang kampung selepas Asar.

Tiba-tiba, kesunyian itu terhapus dek bunyi siren polis. Kejadian itu tidak pernah berlaku dalam kampung kami sebelum ini sehinggalah petang itu sehingga seluruh penduduk kampung keluar dari rumah masing-masing termasuklah saya, mak, Hanim dan Sarah.

Kereta polis itu menuju ke rumah Cik Yam dan orang kampung terus mengekori mereka ke sana. Sampai sahaja di rumah Cik Yam, empat anggota polis turun daripada kereta mereka dan terus menyerbu rumah kayu Cik Yam.

Dalam masa dua minit sahaja, empat anggota polis tadi turun dari rumah Cik Yam bersama Pak Cik Azman yang sudah digari. Waktu itu, Pak Cik Azman dalam keadaan mabuk dan dia hanya gelak kecil.

“Aku akan bunuh kau nanti, Yam dengan anak-anak, kamu tunggu.” Sempat Pak Cik Azman memberi amaran kepada Cik Yam yang sedang menangis.

Saya menangis melihat rakan saya, Naim yang sedang teresak-esak dari atas rumah melihat ayahnya dibawa masuk ke dalam kereta polis.

Dalam keriuhan orang kampung melihat Pak Cik Azman ditangkap, saya tidak perasan kelibat ayah. Saya yang berdiri berhampiran penghulu kampung dapat mendengar perbualannya dengan salah seorang anggota polis yang menangkap Pak Cik Azman.

“Nasib baiklah, Che Ad itu tulis surat dekat aku. Kalau tidak, aku tak tahu apa yang akan jadi dekat Cik Yam dan anak-anak dia.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×