JOHOR BAHRU: Hanya seorang daripada lima kru yang terlibat dalam nahas helikopter terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah semalam masih ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, keadaan kru itu namun dalam keadaan stabil.
“Mereka kini sedang mendapatkan rawatan dan berada dalam keadaan stabil. Saya berpeluang bercakap dengan empat daripada mangsa, manakala seorang lagi, Konstabel Devendran A/L Raja Gopal masih ditidurkan,” katanya semasa ditemukan di lobi HSA, di sini hari ini.
Azmi berkata, Devendran, 30, masih ditidurkan bagi membolehkan proses rawatan berjalan dengan lebih baik, iaitu mengurangkan pergerakan untuk mempercepatkan proses pemulihan.
Beliau turut memberitahu Koperal Adeline Liu Yan Siu yang turut dirawat di ICU telah sedar dan boleh berkomunikasi.
Semalam, media melaporkan helikopter jenis AS355N yang menyertai latihan keselamatan serantau sempena Latih Amal Pelbagai Hala Sekuriti Nuklear Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura 2025 (MITSATOM 2025) terhempas pada pukul 10.25 pagi berhampiran Jeti Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Gelang Patah. – UTUSAN











