ALOR GAJAH: Seorang ibu merayu bantuan orang ramai bagi menampung kos rawatan anak bongsunya yang menghidap kanser buah pinggang sejak Julai tahun lalu.
Shalena Ismail, 50, guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Ramuan China Kechil berkata, walaupun suaminya pesara tentera, pendapatan mereka tidak mencukupi untuk membiayai rawatan berjumlah RM24,400 sebulan.
Anaknya, Amier Syahmi KD Azlan, 15, memerlukan suntikan imunoterapi (nivolamb) berharga RM9,100 dan ubat sunitinib (terapi sasaran) berharga RM3,100 setiap dua minggu.
Katanya, mereka pernah menerima bantuan sekali bayar daripada Baitulmal sebanyak RM30,000 untuk rawatan Jun lalu serta beberapa sumbangan lain, namun ia tidak mencukupi menampung kos berterusan.
“Saya dah usaha macam-macam termasuk cuba menjual tanah dan dua ekor lembu milik ibu bapa saya. Tapi proses semua ini makan masa sedangkan rawatan anak saya perlu diteruskan segera,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Anak bongsu daripada empat beradik itu disahkan menghidap kanser selepas mengalami kencing berdarah.
Pada November 2024, Amier Syahmi menjalani pembedahan membuang buah pinggang kanan, namun pada 3 Jun lalu, imbasan CT menunjukkan kanser merebak ke bahagian dada dan menyebabkan saluran darahnya tersumbat.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat atas nama Shalena Ismail (2238135470) atau menghubungi talian 013-2015675. – UTUSAN











