SEKIRANYA Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif 25 peratus terhadap Malaysia, persoalan utama yang timbul ialah berkaitan tahap kerentanan ekonomi negara. Namun, analisis terhadap lima sektor eksport utama mendedahkan satu hakikat strategik yang penting.
Kekuatan eksport Malaysia tidak bergantung kepada pasaran AS semata-mata. Sebaliknya, ia dipacu ekosistem domestik yang kukuh, berdikari dan bersepadu dari huluan ke hiliran. Ini membuktikan Malaysia memiliki daya tahan serta fleksibiliti strategik yang tinggi untuk menyerap tekanan luar, sekali gus mengurangkan risiko daripada sebarang tindakan tarif luar.
SEKTOR EKSPORT UTAMA KE AS
Sektor mesin dan peralatan elektrik merupakan kategori terbesar menyumbang lebihan dagangan Malaysia dengan AS. Sektor ini sahaja menyumbang sebanyak 61.1 peratus atau AS$14 bilion (RM59 bilion) daripada jumlah keseluruhan lebihan dagangan pada 2024.
Dapatan yang paling menarik ialah, walaupun Malaysia mengeksport produk ini secara besar-besaran ke AS, analisis rantaian ekonomi menunjukkan 99.9 peratus hubung kait sektor ini adalah dengan ekonomi domestik. Ini bermakna kesan pengganda sektor ini yang bernilai 8.33 kali ganda hampir sepenuhnya dijana dalam negara.
Keadaan unik ini sebenarnya menonjolkan kekuatan sebenar ekonomi Malaysia. Ia membuktikan negara kita mampu menghasilkan produk elektrik canggih dan berdaya saing di peringkat global dengan bergantung sepenuhnya pada ekosistem domestik yang menyeluruh.
Malaysia tidak bergantung kepada AS untuk mendapatkan input, teknologi atau pasaran demi kelangsungan sektor ini. Sebaliknya, pasaran AS menjadi destinasi pilihan kerana harga kompetitif, kualiti produk yang tinggi serta hubungan perniagaan sedia terjalin.
Instrumen optik dan perubatan adalah sektor kedua terbesar menyumbang kepada lebihan dagangan. Ini mencerminkan keupayaan Malaysia dalam bidang pengilangan jitu dan aplikasi berteknologi tinggi. Dengan sebanyak AS$2.54 bilion (RM11.89 bilion) atau 11.1 peratus lebihan dagangan, sektor ini membuktikan peralihan Malaysia daripada sektor pengilangan asas kepada kejuruteraan jitu bernilai tinggi memerlukan kemahiran termaju dan infrastruktur canggih.
Analisis rantaian ekonomi menunjukkan sektor ini mempunyai rantaian ke belakang yang kukuh dengan industri kejuruteraan jitu tempatan, sains bahan dan pembangunan tenaga kerja mahir.
Kebanyakan komponen dan perkhidmatan sokongan diperoleh dari sumber tempatan. Ini bermakna, pertumbuhan sektor ini memberi manfaat secara langsung kepada ekonomi negara melalui penciptaan peluang pekerjaan, pembangunan kemahiran dan limpahan teknologi.
Kekuatan tradisi Malaysia dalam industri getah terus menjana lebihan dagangan yang besar dengan AS. Ini mencerminkan pembangunan kepakaran selama berdekad-dekad serta integrasi domestik yang menyeluruh dalam rantaian nilai getah. Dari peringkat huluan seperti ladang getah hingga ke peringkat hiliran iaitu produk siap, Malaysia mempunyai ekosistem domestik yang lengkap dan tidak bergantung pada input luaran untuk operasi terasnya.
Analisis rantaian belakang menunjukkan integrasi yang mendalam antara ladang getah, kemudahan pemprosesan, kilang pembuatan dan perkhidmatan sokongan yang semuanya berpusat di dalam negara. Manakala rantaian hadapan pula meluas ke pelbagai industri seperti automotif, pembinaan, penjagaan kesihatan dan barangan pengguna. Industri-industri ini sebahagian besarnya memenuhi keperluan pasaran domestik, sambil pada masa sama menjana lebihan eksport.
Sektor perabot menunjukkan gabungan menyeluruh antara sumber kayu tempatan, kemahiran pertukangan, keupayaan reka bentuk dan kecekapan pengilangan. Sebanyak AS$1.52 bilion (RM6.43 bilion) atau 6.6 peratus lebihan dagangan. Ini mencerminkan proses nilai tambah yang meluas iaitu daripada peringkat bahan mentah sehinggalah menjadi produk siap yang canggih.
Rantaian dalam negara bagi sektor ini kukuh kerana memiliki sumber kayu mampan, tradisi pertukangan kayu yang mantap, tenaga kerja mahir serta keupayaan reka bentuk yang dibangunkan selama berdekad-dekad. Industri-industri sokongan seperti bahan pelekat, bahan kemasan, perkakasan dan pembungkusan juga semuanya tersedia di dalam negara. Ini mewujudkan ekosistem yang mampu berdikari.
Minyak sawit dan produk berkaitan terus menjadi kekuatan eksport Malaysia, dengan negara mengawal sepenuhnya rantaian pengeluaran domestik, dari peringkat ladang hinggalah ke produk. Lebihan dagangan dalam kategori ini mencerminkan keupayaan pemprosesan nilai tambah yang meluas serta standard kualiti yang tinggi, mampu memenuhi keperluan pasaran global yang ketat.
Sektor ini memiliki struktur menyeluruh, dengan Malaysia menguasai keseluruhan rantaian nilai, dari penyelidikan dan pembangunan (R&D) benih, penanaman mampan, teknologi pemprosesan hingga kawalan kualiti. Tambahan pula, penggunaan domestik yang tinggi memberi asas kukuh, menjadikan sektor ini kurang bergantung kepada pasaran eksport.
MALAYSIA DI PENTAS GLOBAL
Kekuatan dalaman ini memberikan Malaysia kelebihan strategik yang amat besar di pentas global, iaitu kuasa pilihan. Negara tidak terikat kepada satu pasaran sahaja. Sebaliknya, Malaysia mampu mengekalkan atau meluaskan penguasaan pasarannya di AS berasaskan kelebihan daya saing sedia ada.
Namun, jika timbul sebarang ketegangan perdagangan atau sekatan tarif, Malaysia berupaya untuk beralih arah ke pasaran lain tanpa menyebabkan keruntuhan struktur ekonomi domestik. Asas ekonomi yang berdikari ini memberikan fleksibiliti luar biasa dalam merancang strategi dan bertindak balas terhadap sebarang tekanan luaran.
Kepentingan strategik ini melangkaui sekadar hasil eksport. Ia sebenarnya tentang membina keupayaan negara. Contohnya, dalam sektor instrumen jitu, kemajuan teknologi dicapai mewujudkan limpahan positif yang membantu menaik taraf industri-industri lain di dalam negara.
Lebih penting lagi, pasaran alternatif yang luas terbentang di seluruh dunia. Terdapat permintaan besar daripada gergasi Asia seperti China dan India untuk produk getah dan minyak sawit.
Pasaran premium Eropah menanti produk berteknologi tinggi seperti peranti perubatan, sementara gelombang permintaan baharu dari ASEAN, Afrika dan Amerika Latin didorong pertumbuhan kelas pertengahan membuka peluang besar bagi perabot dan barangan pengguna. Dalam masa sama, platform e-dagang moden membuka akses terus ke pasaran global, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap saluran dagang tradisional.
Jelas sekali, asas domestik yang kukuh ini berfungsi umpama polisi insurans ekonomi, ia menjamin kestabilan dan memberi Malaysia keyakinan untuk terus bersaing secara global, tidak kira apa jua cabaran yang mendatang.-UTUSAN
DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.










