MELAKA: Kerajaan perlu menangguhkan pelaksanaan had umur belia kepada 30 tahun mulai 1 Januari tahun depan kerana dikhuatiri memberi kesan terhadap kestabilan dan masa depan kepimpinan pertubuhan belia di negara ini.
Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia (GB4B), Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, pelaksanaan serentak dua dasar utama iaitu had umur belia dan tempoh maksimum jawatan pengerusi selama empat tahun bakal melemahkan struktur pertubuhan belia secara drastik.
“Ini bukan soal umur semata-mata tetapi soal kelangsungan organisasi. Hari ini, lebih 60 peratus pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia aktif berumur antara 31 hingga 40 tahun. Jika mereka disingkirkan secara automatik, akan wujud kekosongan kepimpinan yang tidak mudah diganti.
“Tanpa pengalaman dan kestabilan, pertubuhan belia akan terjejas. Kami gesa agar dasar ini ditangguhkan demi menjamin masa depan pembangunan belia negara,” katanya hari ini.
Mohd. Ridhwan berkata, walaupun dasar mengehadkan umur belia kepada 30 bertujuan menumpukan program dan sumber kepada golongan berumur 15 hingga 30 tahun, pelaksanaan terhadap struktur pentadbiran NGO belia akan menjejaskan kesinambungan kepimpinan.
Katanya, turut terkesan adalah kecekapan pentadbiran dan kelangsungan pelaksanaan program belia khususnya di peringkat akar umbi.
“GB4B turut menyambut baik pendirian exco-exco kerajaan negeri yang memegang portfolio belia yang turut menyatakan kebimbangan dan tidak bersetuju terhadap dasar tersebut.
“Perkara itu disuarakan secara terbuka ketika Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Peringkat Kebangsaan di International Youth Centre (IYC), Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN










