PETALING JAYA: Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menggesa kerajaan Malaysia agar segera memulakan rundingan tarif sektoral dengan Amerika Syarikat (AS), susulan pengumuman kenaikan kadar duti import kepada 25 peratus yang akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.
Presiden MARGMA, Oon Kim Hung berkata, Malaysia membekalkan hampir separuh daripada pasaran AS untuk sarung tangan getah asli dan nitril iaitu produk penjagaan kesihatan yang penting dan perlu memenuhi piawaian ketat Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA).
Katanya, dengan permintaan dari AS yang diunjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bakal mencecah AS$4.17 bilion (RM19.56 bilion) menjelang 2030, sebarang kenaikan tarif berkemungkinan menjejaskan penjagaan pesakit serta meningkatkan kos kepada hospital dan institusi penjagaan kesihatan di AS.
“Sebaliknya daripada menjejaskan industri pembuatan AS, pengeluar sarung tangan Malaysia telah menunjukkan komitmen jangka panjang terhadap pasaran AS.
“Contohnya, Supermax Corporation Berhad telah melabur sebanyak AS$350 juta (RM1.65 bilion) dalam pembinaan kemudahan pengeluaran di Texas, membuktikan dedikasi industri kami dalam menyokong sektor penjagaan kesihatan di AS,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, ahli-ahli MARGMA bersedia untuk bekerjasama dengan kedua-dua kerajaan bagi mendapatkan pengecualian atau sekurang-kurangnya mengekalkan kadar tarif 10 peratus ke atas sarung tangan getah.
“Sarung tangan ini bukan barangan mewah tetapi keperluan perubatan yang penting. Kenaikan tarif kepada 25 peratus akan mengganggu rantaian bekalan, meningkatkan kos penjagaan kesihatan dan menjejaskan keselamatan pesakit,” katanya.
Beliau berkata, industri sarung tangan getah Malaysia turut bekerjasama rapat dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan MITI bagi mencegah penyalahgunaan penghantaran semula dan mempertahankan reputasi negara dalam pengeluaran berkualiti dan bertanggungjawab.
“Kami menggesa para perunding perdagangan Malaysia untuk mendapatkan layanan sektoral yang sama seperti yang telah diberikan kepada industri strategik lain, bagi memastikan penyedia penjagaan kesihatan di AS terus mendapat akses yang boleh dipercayai kepada sarung tangan bertaraf dunia dari Malaysia.
“MARGMA kekal komited terhadap bekalan global yang mampan dan berharap agar hasil rundingan tarif kelak dapat mengimbangi keperluan perdagangan yang adil dengan kepentingan kesihatan awam yang mendesak bagi kedua-dua negara,” katanya.
Semalam, Menteri MITI, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, Malaysia kekal optimis meneruskan perundingan dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) berhubung tarif import bagi mencapai situasi menang-menang bagi kedua-dua belah pihak sehingga 1 Ogos ini.
Beliau berkata, rundingan antara Malaysia dan USTR menunjukkkan perkembangan yang baik dan beberapa isu kecil dijangka dapat diselesaikan dengan baik. – UTUSAN










