BAITULMUQADDIS: Hamas menyatakan mereka akan membebaskan 10 tebusan sebagai sebahagian daripada rundingan gencatan senjata di Gaza, selepas Israel menyuarakan nada optimistik mengenai prospek perjanjian untuk menghentikan pertempuran di wilayah Palestin yang dilanda krisis itu.
Kenyataan kumpulan pejuang Palestin itu dikeluarkan selepas empat hari rundingan tidak langsung yang diusahakan oleh Qatar, dan ketika Amerika Syarikat (AS) memberi isyarat mereka percaya satu perjanjian gencatan senjata selama 60 hari akan dapat dicapai sebelum akhir minggu ini.
Utusan khas AS, Steve Witkoff, berkata, sebahagian daripada perjanjian itu melibatkan pembebasan 10 tebusan yang masih hidup yang ditahan sejak 7 Oktober 2023.
Daripada 251 tebusan, 49 masih ditahan di wilayah itu, termasuk 27 yang menurut tentera Israel sudah pun meninggal dunia.
Hamas berkata, masih terdapat beberapa halangan utama dalam rundingan, khususnya berkaitan aliran bantuan yang bebas ke Gaza, pengunduran tentera Israel dari wilayah tersebut, dan “jaminan sebenar” untuk keamanan yang berkekalan.
“Gerakan (rundingan) ini menunjukkan fleksibiliti yang diperlukan dan bersetuju untuk membebaskan 10 orang tahanan (tebusan).
“Walaupun rundingan berdepan kesukaran setakat ini akibat sikap keras kepala pihak Zionis, kami terus bekerja secara serius dan dengan semangat positif bersama para pengantara untuk mengatasi rintangan, menamatkan penderitaan rakyat kami, dan memastikan aspirasi mereka terhadap kebebasan, keselamatan, dan kehidupan yang bermaruah,” menurut Hamas.











