KUALA TERENGGANU: Naluri keibuan yang menebal menyuntik hati seorang wanita dari Bukit Depu, di sini menjadi ibu susuan kepada sembilan bayi yang memerlukannya sejak 13 tahun lalu.
Nurul Asma’ Wahap, 37, berkongsi susu badannya dengan bayi-bayi berkenaan yang kebanyakannya mengalami masalah anak tidak sah taraf, kurang nutrisi dan ibu kandung mempunyai masalah kesihatan.
Katanya, ia bermula 13 tahun lalu apabila kakaknya, Shahida, 40, mengalami masalah kekurangan susu badan akibat keguguran sebelum itu.
“Keadaan kesihatan menyebabkannya tidak mempunyai susu mencukupi untuk anak sulung lelaki yang dilahirkan. Saya kebetulan baru melahirkan anak sulung dan mempunyai susu badan yang banyak untuk dikongsi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Ibu kepada empat cahaya mata itu menganggap dirinya bertuah kerana tidak semua wanita boleh berkongsi susu badan dengan bayi lain selain anak sendiri.
“Saya bersyukur kerana dapat menyusukan mereka dan berkongsi kasih sayang kerana anak-anak ini juga berhak disayangi walaupun tanpa keluarga.
“Proses memberi susu bukan sahaja secara fizikal tetapi saya menyimpan stok susu sejuk beku untuk memudahkan bekalan diberikan kepada bayi,” katanya.
Nurul Asma berkata, dia juga gembira kerana niat murni itu juga mendapat keizinan dan sokongan suaminya Sabri Mamat, 38.-UTUSAN.










