KUALA LUMPUR: Seorang penjaga parkir didakwa di tiga Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 11 pertuduhan memiliki senjata tiruan, mengugut dan mencederakan lima lelaki di awal bulan ini.
Bagaimanapun, tertuduh, R. Sanjjiiv, 27, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, M.S. Arunjothy, Noorelynna Hanim Abd. Halim dan Illi Marisqa Khalizan.
Mengikut pertuduhan, Sanjjiiv didakwa atas lima pertuduhan memiliki sepucuk pistol tiruan tanpa alasan munasabah di dalam papan pemuka kereta Toyota Yaris miliknya di beberapa lokasi di antara pukul 10 hingga 11.30 malam, 1 Julai lalu.
Bagi kesemua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Berbahaya 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pada tarikh dan waktu sama, bapa kepada dua anak itu juga menghadapi empat pertuduhan mengugut lima lelaki di lokasi berbeza.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Tertuduh juga boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun sekiranya ugutan tersebut melibatkan ancaman kematian atau kecederaan parah.
Sanjjiiv turut didakwa atas dua pertuduhan mencederakan dua lelaki dalam kejadian berasingan di Jalan Sungai Besi dan Jalan Klang Lama di sini pada tarikh dan masa sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 dan 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd. Khusyri, Iman Nurhidayah Ezani dan Nursyuhada Husna Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam bela, Khairunnisa Azzahra Ghazalie.
Mahkamah membenarkan Sanjjiiv diikat jamin RM19,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Pada 2 Julai lalu, media melaporkan pihak polis menahan lelaki yang mengacukan pistol tiruan ke arah individu yang keretanya dilanggar dalam kejadian di Jalan Desa, Taman Desa di sini. – UTUSAN







