PERINTAH Kastam (Larangan Import) (Pindaan) 2025 yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 menghendaki pengimportan sisa, paring dan sekerap plastik di bawah kod tarif 39.15 bagi semua negara disertakan dengan sijil kelulusan (COA) bagi pihak SIRIM Berhad seperti mana yang ditakrifkan di bawah garis panduan bagi pengimportan dan pemeriksaan sisa plastik.
COA ialah permit untuk mengimport sisa plastik, yang dikeluarkan setelah berjaya mematuhi dengan semua keperluan yang digariskan dalam garis panduan, yang meliputi rangka kerja kawal selia pengimportan sisa plastik ke Malaysia bagi tujuan pembuatan, di mana sisa itu digunakan untuk menghasilkan produk siap atau barangan merentasi pelbagai industri.
Garis panduan tersebut menyatakan bahawa pengimportan sisa plastik hanya dibenarkan dari pihak yang telah meratifikasi Konvensyen Basel mengenai kawalan pergerakan rentas sempadan sisa berbahaya dan pelupusannya serta negara-negara yang telah memeterai perjanjian dua hala, pelbagai hala atau serantau mengenai pergerakan rentas sempadan sisa plastik dengan Malaysia, perjanjian atau pengaturan itu tidak menjejaskan pengurusan sisa plastik yang mesra alam seperti yang dikehendaki oleh Konvensyen Basel. Ini bermakna negara yang belum meratifikasi Konvensyen Basel seperti Amerika Syarikat (AS), Fiji dan Haiti tidak boleh lagi mengeksport sisa mereka ke Malaysia.
Memandangkan kita kini mempunyai peraturan import yang lebih ketat, Malaysia perlu memastikan penguatkuasaan berkesan dengan prosedur kastam yang mantap, melaksanakan pemeriksaan rapi, membanteras rasuah, mengenakan penalti yang berkesan bagi pelanggaran peraturan dan memastikan pendakwaan yang cepat dan telus terhadap pesalah.
Penyeludup bahan buangan tidak ragu-ragu untuk melanggar undang-undang atau mencari kecelahan dalam undang-undang bagi meneruskan operasi mereka. Maka, kita perlu sentiasa berwaspada dalam melindungi alam sekitar dan kesihatan awam kita daripada bahaya perdagangan sisa. – UTUSAN
MEENAKSHI RAMAN
Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM)










