‘Covid-19 ini sakit sangat-sangat’ - Utusan Malaysia

‘Covid-19 ini sakit sangat-sangat’

SITI ATIKAH ABDUL HALIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Kalau ada yang rasa Covid-19 ini hanya gurauan, main-main, tolonglah wujudkan kesedaran dalam diri. Covid-19 ini sakit sangat-sangat.”

Itu luahan bekas seorang pesakit Covid-19 tahap 4, Siti Atikah Abd. Halim, 30, ketika menjadi ‘mangsa’ pandemik itu pada 26 April lalu.

Menceritakan pengalamannya kepada Utusan Malaysia sepanjang hampir 20 hari dirawat di Hospital Raja Pe­rem­puan Zainab II, Kota Bahru, Siti Atikah berkata, berperang dengan virus itu sangat menyakitkan apatah lagi diburukkan dengan masalah kesihatan sedia ada.

“Dalam wad, semua tak kena. Tidur, baring, bangun dan makan semua tak kena. Batuk jadi sangat sakit, kahak macam berdarah. Saya sesak nafas, dalam tidur saya rasa macam nyawa nak kena cabut, macam ada batu hentak dada. Selepas itu mula tergapai-gapai ambil nafas.

“Rutin pagi seawal pukul 3 pagi, doktor masuk ambil darah, sakitnya Allah sahaja yang tahu. Masa tu yang saya nak hanya abah saya. Dengan kesan ubat, buat saya pening dan mual-mual, bila kena cucuk ubat, sakit,” katanya ketika dihubungi semalam.

Lebih menyedihkan, Siti Atikah yang tinggal bersama bapanya, Abd. Halim Ramli, 59, turut menjadi mangsa Covid-19 dan disahkan pulih lebih awal selepas dirawat 10 hari.

Dia yang merupakan seorang peguam tidak menge­tahui dari mana mendapat jangkitan virus itu sedangkan sudah mengambil langkah pencegahan seperti tidak mengunjungi tempat awam, cuma ulang alik dari tempat kerja ke rumah.

Walaupun dia disahkan sudah pulih dari jangkitan membawa maut itu, sehingga sekarang masih rasa sakit setiap kali menguap atau bersin.

Tiada saat paling menggembirakan dalam hidupnya apabila doktor membenarkan pulang sehari sebelum Hari Raya ketika ramai pesakit dalam wad sudah kemurungan dan tidak berhenti cakap soal mati.

“Setiap malam di hospital, rasa macam beratur untuk mati. Risau kalau esok bangun tak bernyawa, risau kalau esok saya dah tak jumpa abah saya lagi. Risau kalau saya mati sendirian. Sungguh. Sebab sakit, sakit yang kamu tidak boleh gambarkan bagaimana,” katanya.

Siti Atikah pada masa sama menasihati orang ramai untuk menjaga diri dan mematuhi segala SOP kerana risiko untuk mendapat jangkitan amat mudah.

Sepanjang di hospital, dia kagum dengan komitmen dan pengorbanan petugas kesihatan yang sentiasa menjaga dan memberi layanan terbaik walaupun terpaksa bersengkang mata dan tetap memberikan senyuman kepada pesakit.

“Tahan dulu niat nak ziarah saudara-mara, saya tengok hari ini ramai yang beraya ziarah-menziarah. Kamu tidak akan tahu siapa pembawa virus ini tanpa ada simptom. Jangan degil, patuh SOP PKP semua ini bersebab.

“Sampai ke hari ini saya masih menderita dengan kesan Covid-19. Pemulihan itu benar tapi masih sakit-sakit badan, lenguh seakan-akan lumpuh. Pendek kata, tidak ampuh macam sebelum ini. Semuanya sebab Covid-19.

“Kalau rasa Covid-19 masih jenaka kepada anda, dipersilakan. Selagi tak kena sendiri, kamu boleh ketawa,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×