PETALING JAYA : Kanak-kanak dan golongan muda kini lebih mudah dan berisiko dijangkiti Covid-19 menerusi kemunculan tiga varian baharu iaitu Afrika Selatan (B.1.351), United Kingdom (B.117) dan India (B.1.617.1).
Meskipun golongan itu mempunyai tahap imun yang tinggi, namun ketiga-tiga varian itu telah menyebabkan tindak balas antibodi mereka untuk melawan virus itu gagal.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohd. Fazrul Mokhtar berkata, dengan kemunculan varian baharu Covid-19, jumlah pesakit daripada golongan muda termasuk kanak-kanak semakin ramai yang dijangkiti.
“Lebih merisaukan apabila varian baharu tiada menunjukkan simptom dan berpotensi sebagai pembawa virus untuk menyebarkan kepada orang lain, terdapat kes di negara jiran dengan jangkitan bermula di sekolah,” katanya.
Utusan Malaysia semalam mendedahkan seramai 64,046 kanak-kanak dijangkiti Covid-19 dalam tempoh setahun lalu selain turut mengorbankan lapan petugas kesihatan termasuk dua doktor pakar.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, golongan kanak-kanak tidak terkecuali dijangkiti Covid-19 apabila ibu bapa dan penjaga kini dilihat mengabaikan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) terutama dengan membawa mereka ke tempat awam.
Dalam pada itu, Dr. Mohd. Fazrul menjelaskan jangkitan terhadap golongan bayi lebih membimbangkan apabila mereka sukar untuk menunjukkan simptom jangkitan Covid-19 berbanding kanak-kanak dan dewasa melainkan dikenal pasti melalui ujian calitan.
“Jika golongan dewasa dan kanak-kanak, mereka boleh tunjuk simptom demam, lesu atau sakit kepala, tetapi bayi adalah sukar melainkan mereka jika dilakukan saringan kesihatan, jadi potensi merebak virus ini adalah lebih cepat jika ada masyarakat sekeliling berhampiran.
“Justeru, saya merayu sangat kepada ibu bapa janganlah bawa anak-anak kecil ke kawasan sesak dan jangan membenarkan pengunjung datang ke rumah. Jika SOP ini tidak dipatuhi, ia akan membawa kesan lebih buruk kepada nyawa anak-anak malah ibu bapa sendiri.
“Apatah lagi kemunculan varian baharu ini, sehingga ini ia memberi risiko besar kepada masyarakat khususnya golongan kanak-kanak,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Pulau Pinang (PMPS), Dr. Pramjit Singh menggesa kerajaan Pusat melaksanakan segera program vaksinasi terhadap golongan muda berusia 12 hingga 15 tahun di negara ini bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 terhadap kumpulan umur berkenaan.

Katanya, Pihak Berkuasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura telah memberi kelulusan penggunaan vaksin Covid-19 untuk golongan berkenaan dan langkah itu wajar dicontohi Malaysia.
“Kumpulan pakar vaksin Covid-19 di Singapura memaklumkan vaksin keluaran Pfizer selamat dan berkesan untuk digunakan terhadap kanak-kanak berusia antara 12 dan 15 tahun.
“Malaysia juga wajar melaksanakan program vaksin untuk golongan kanak-kanak sebagai usaha untuk menyelamatkan mereka daripada risiko dijangkiti wabak Covid-19 ini,’’ katanya ketika dihubungi di sini semalam. -UTUSAN










