ARAU: Demi minat dalam bidang teknikal, pasangan kembar dari Sabah sanggup berjauhan dengan keluarga serta menempuh perjalanan jauh bagi melanjutkan pengajian di peringkat diploma di Universiti Malaysia Perlis (Unimap).
Mohamad Mirwansyah Arah dan Mohamad Nirmansyah, 18, yang berasal dari Sandakan, masing-masing mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Kejuruteraan Pembuatan di universiti berkenaan.
Sebelum mendaftar di Unimap semalam, pasangan itu bersama keluarga memulakan perjalanan menaiki bas dari Sandakan ke Kota Kinabalu, seterusnya menaiki kapal terbang ke Semenanjung.
Ibu mereka, Anisah Nasir, 42, berkata, walaupun Sabah dan Perlis amat jauh dipisahkan Laut China Selatan, tetapi demi memastikan anak-anak memperoleh pendidikan yang berkualiti, mereka sekeluarga nekad menghantar dua beradik itu.
“Unimap adalah pilihan pertama pasangan kembar ini kerana mereka terlalu minat dalam bidang teknikal atau kejuruteraan.
“Lebih meyakinkan kami memilih Unimap walaupun jauh adalah kerana kakak pasangan ini, Sarifah Nurun Nisa, 19, juga sedang mengikuti pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrik di sini,” katanya ketika ditemui.
Pasangan itu antara 1,009 pelajar baharu peringkat diploma dan merupakan kemasukan paling ramai sejak penubuhan Unimap.
Sementara itu, Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, seramai 744 pelajar lelaki manakala 265 perempuan yang mendaftar akan mengikuti tujuh program utama ditawarkan di tujuh fakulti termasuk Fakulti Komputeran Cerdas (FKC).
“Ia masing-masing melibatkan bidang Kejuruteraan Bahan (152), Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (145), Kejuruteraan Elektrik (155), Kejuruteraan Mekatronik (151), Kejuruteraan Komputer (108), Kejuruteraan Elektronik (162) dan Kejuruteraan Pembuatan (136).
“Peningkatan jumlah pelajar baharu itu bukan sekadar angka, tetapi merupakan satu amanah dan kepercayaan yang tinggi daripada ibu bapa dan pelajar kepada Unimap sebagai institusi pilihan untuk pendidikan tinggi,” katanya. – UTUSAN











