PETALING JAYA: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan memperkenalkan ketelusan harga dengan mewajibkan setiap resit belian menyatakan secara jelas caj Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dikenakan.
Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Dr. T. Saravanan berkata, ia penting bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati dengan menjadikan SST sebagai alasan, meskipun barangan itu bukan dalam senarai bercukai.
“Setiap resit perlu menyatakan sama ada harga termasuk SST, dan jika ya, nyatakan jumlah dan kadar cukai. Ia memberikan kuasa kepada pengguna untuk menilai dan membuat aduan jika berlaku penipuan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, FOMCA menerima aduan kenaikan harga barang secara mendadak selepas pelaksanaan SST, tetapi apabila semakan dibuat barangan tersebut tidak tersenarai sebagai barangan bercukai.
“Bagaimanapun, aduan ini tidak terlalu tinggi kerana masih ramai pengguna tidak sedar hak mereka atau tidak pasti cara menyalurkan aduan dengan betul,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Gandingan Gerak Pengguna Malaysia, Datuk Sheeda Romli berkata, penyampaian maklumat berkenaan barang dikenakan cukai belum cukup menyeluruh kepada pengguna.
“Ramai pengguna terutamanya di luar bandar masih tidak mendapat maklumat yang jelas dan terperinci. Mereka hanya mengetahui barang naik tetapi tidak tahu apakah puncanya,” katanya.
Katanya, agensi berkaitan perlu proaktif dalam menyampaikan maklumat secara mudah difahami dalam pelbagai bahasa dan saluran.
“Bukan sahaja melalui media sosial atau laman web tetapi juga melalui ceramah komuniti, penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), infografik di setiap kedai atau kempen kesedaran melalui radio dan televisyen.
“Kalau kita mahu pengguna lebih faham dan tidak panik dengan kenaikan harga barang, kita mesti pastikan saluran komunikasi dan pendidikan pengguna itu berjalan secara aktif dan konsisten,” katanya. – UTUSAN











