SumiSaujana teroka potensi besar sektor kimia hijau 

SumiSaujana teroka potensi besar sektor kimia hijau 

NORAZLAM NORBI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SumiSaujana Group Bhd (SumiSaujana), pengeluar bahan kimia khusus untuk industri minyak dan gas (O&G) melihat sektor kimia hijau di Malaysia mempunyai potensi besar, sejajar dengan peralihan global ke arah tenaga bersih dan produk mesra alam. 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana Group Berhad, Norazlam Norbi berkata, pihaknya kini terlibat aktif dalam pembangunan bahan kimia berasaskan oleokimia, termasuk kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ujarnya, kerjasama itu membabitkan pengkomersialan bahan perantara berasaskan sawit, poliol berasaskan sawit dan poliol poliester berasaskan bio, yang menawarkan alternatif lestari kepada bahan berasaskan petroleum. 

“Teknologi ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada sumber fosil, tetapi turut menyumbang kepada peningkatan nilai industri hiliran sawit tempatan. 

“Selain itu, sektor ini dijangka dapat menjana peluang pekerjaan baharu dan menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi hab kimia mampan di Asia menjelang 2030,’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia

Jelas beliau, selain itu, SumiSaujana komited terhadap kelestarian dengan mengintegrasikan inisiatif hijau dalam operasi syarikat. 

Antaranya, pihaknya dalam proses pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 374.00 kWp di kilang untuk mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kecekapan tenaga.

“Kami juga membangunkan produk berasaskan oleokimia, termasuk pelincir biodegradasi dan minyak ‘transformer’ yang lebih mesra alam, sebagai usaha memperkenalkan penyelesaian yang lebih mampan dalam pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, SumiSaujana telah melabur lebih RM23 juta dalam pembangunan makmal dan kemudahan pengeluaran bagi menyokong usaha inovasi berterusan sejak 2011.

Jelas Norazlam, penyelidikan dan pembangunan (R&D) merupakan tonggak utama strategi pertumbuhan dan inovasi SumiSaujana.

“Pasukan R&D dan operasi makmal kami terdiri daripada lebih 27 kakitangan termasuk ahli kimia, juruteknik makmal, ahli teknologi dan pegawai pentadbiran, memainkan peranan penting dalam memastikan setiap formulasi diuji dengan teliti bagi menjamin keberkesanan dan keselamatan produk.

“Sebahagian daripada hasil penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) turut diperuntukkan untuk memperkukuh lagi keupayaan R&D kami, sebanyak RM7.6 juta akan digunakan bagi menubuhkan sebuah makmal R&D baharu di pejabat korporat kami di Puncak Alam,” katanya.

Jelas Norazlam, usaha R&D ini bukan sahaja membolehkan syarikat menghasilkan formulasi bernilai tinggi untuk sektor minyak dan gas, tetapi juga membuka peluang untuk memperluas pangkalan pelanggan ke sektor-sektor lain.

SumiSaujana telah disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 9 April lalu dengan diskaun enam sen, apabila dibuka 18 sen sesaham berbanding harga IPO 24 sen sesaham.

Melalui penyenaraian itu, SumiSaujana berjaya mengumpul RM74.40 juta, dengan RM40.20 juta diperuntukkan bagi pembelian gudang dan pejabat korporat baharu di Puncak Alam.

Baki RM18.90 juta lagi akan digunakan untuk pembelian kilang sedia ada di Puncak Alam, bagi menjamin kestabilan operasi jangka panjang; perbelanjaan modal, termasuk pembelian dan pemasangan infrastruktur teknologi maklumat, serta pemasangan sistem fotovoltaik solar (RM2.08 juta); penubuhan makmal R&D yang baharu (RM7.62 juta) dan RM5.60 juta untuk menampung perbelanjaan penyenaraian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×