SHAH ALAM: Bagaikan perjalanan terakhir. Itulah gambaran kerisauan yang terpancar pada raut wajah pesakit-pesakit positif Covid-19 yang berada di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Stadium Malawati di sini.
Sebelum CAC dibuka pada pukul 8.30 pagi, ratusan pesakit dilihat sudah berada di sana untuk menjalani penilaian sebelum ditentukan sama ada perlu menjalani rawatan di hospital atau dikuarantin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) atau di rumah.
Namun, apa yang menyedihkan, para pesakit berkenaan bukan sahaja datang bersendirian, malah ada yang terpaksa membawa seluruh ahli keluarga termasuk kanak-kanak dan bayi. Ini kerana kesemuanya disahkan positif, dan lebih memilukan mereka terpaksa berpisah untuk menjalani rawatan atau kuarantin secara berasingan.
Di sana, turut kelihatan ramai warga emas yang berkerusi roda atau menggunakan tongkat yang terpaksa hadir bagi menjalani penilaian penyakit berjangkit tersebut.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, walaupun kehadiran pesakit tidak seramai seperti sebelum ini, namun, hanya sebahagian kecil sahaja yang menunjukkan gejala seperti demam, batuk, sakit tekak atau hilang deria rasa.
Bagaimanapun, paling menarik perhatian adalah kebanyakan pesakit tidak tahu punca mereka boleh terkena jangkitan Covid-19.
Pesakit pertama ketika ditemui memaklumkan, terkejut apabila disahkan positif selepas pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami demam dan sakit tekak.
“Saya dan isteri mengalami demam dan sakit tekak, tetapi doktor di klinik mengarahkan kami menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum disahkan positif.
“Apabila saya dan isteri positif, saya membawa tiga anak untuk jalani ujian saringan, namun amat menyedih dan membimbangkan apabila mereka turut disahkan dijangkiti virus Covid-19. Kemudian kami diarahkan untuk jalani penilaian sebelum ditentukan kaedah kuarantin,” katanya.
Dalam pada itu, pesakit kedua pula meluahkan kesedihan kerana berpisah dengan isteri dan anak-anak bagi menjalani kuarantin di MAEPS. Malah, dia terpaksa menyambut Aidilfitri tanpa keluarga di sisi.
“Saya disahkan positif Covid-19 pada 5 Mei lepas, kemudian diarahkan menjalani kuarantin di MAEPS Serdang selama kira-kira 10 hari dan menyambut Hari Raya Aidilfitri pun di sana.
“Tidak lama selepas saya disahkan positif, isteri dan anak termasuk bayi kami yang berusia 11 bulan pula disahkan positif, tetapi syukur kerana hanya perlu menjalani kuarantin di rumah. Hari ini saya bawa keluarga ke CAC untuk dapatkan pengesahan tamat kuarantin,” ujarnya.
Sejak lima hari lepas, Selangor terus mencatatkan kes harian tertinggi berbanding negeri lain dengan kes baharu melebihi empat angka setiap hari.
Semalam, Selangor mencatatkan 2,251 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif 159,307. -UTUSAN










