SEREMBAN: Harapan tinggi penyokong pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) menjadi pembakar semangat kepada Luqman Hakim Shamsudin untuk beraksi dalam Liga Super 2025 yang akan membuka tirai bulan depan.
Bekas pemain kelab divisyen pertama Belgium, K.V Kortrijk itu sedar tekanan tinggi yang dipikul ke bahunya oleh para penyokong terutamanya selepas kedudukan pasukan itu yang terhumban ke tangga kedua terbawah liga musim lalu.
Namun, pemain yang berusia 23 tahun itu kekal tenang malah menyifatkan harapan tinggi penyokong adalah sesuatu yang perlu dihadapi oleh mana-mana pemain bola sepak terutamanya yang bertaraf profesional.
“Walaupun mendapat beberapa tawaran saya memilih Negeri Sembilan sebagai pasukan diwakili untuk beraksi dalam Liga Super musim ini kerana yakin dengan pengurusan, rakan sepasukan dan ketua jurulatih, Mohd Nidzam Jamil.
“Saya berharap semua penyokong NSFC dapat memberi sokongan padu yang tidak berbelah bagi kepada pasukan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian pembukaan kedai pakaian sukan, Warrix Concept Store dekat Rahang di sini hari ini.
Selain Kortrijk sebagai kelab utama, Luqman Hakim yang mewakili pasukan itu mulai 2020, pernah dipinjamkan ke kelab Iceland dan terakhir dipinjamkan hingga akhir tahun lalu ke YSCC Yokohama yang kini bersaing dalam Liga J3 Jepun.
Luqman Hakim menegaskan, sokongan para peminat NSFC amat penting kerana beliau bersama pasukan itu bercita-cita untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Negeri Sembilan dalam pesada liga.
Namun beliau mengingatkan, pasukan itu memerlukan sedikit masa untuk membentuk keserasian antara para pemain dan rentak permainan yang mantap.
“Pada masa ini, kami sedang giat berlatih dengan bimbingan Mohd. Nidzam sejak tiga minggu lalu dan apa yang boleh saya katakan ialah gandingan antara para pemain semakin baik.
“Saya percaya pasukan ini akan semakin baik dalam tempoh kira-kira sebulan ini iaitu sebelum liga bermula,” ujarnya.
Sementara itu, majlis perasmian Warrix Store telah disempurnakan oleh Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).
Pada majlis itu, Tunku Syed Razman turut merasmikan kad keahlian ‘Hobin NSFC’ yang menawarkan keistimewaan kepada ahli antaranya diskaun pembelian barangan dan akses ke acara khas kelab sepanjang musim.-UTUSAN.










