PETALING JAYA: Malaysia berdepan risiko menjadi ‘pusat transit’ kumpulan radikal warga asing sekiranya berlaku kelemahan dalam sistem tapisan keselamatan dan pemantauan warga asing, khususnya pekerja dari Bangladesh.
Pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim mendakwa kelemahan paling ketara adalah kerajaan terlalu bergantung kepada pendaftaran imigresen dan laporan majikan tanpa sistem pemantauan berterusan.
“Kita tidak pantau betul-betul siapa mereka dan di mana tempat tinggal mereka. Kita hanya tahu daripada majikan, tetapi selepas itu tiada siapa peduli.
“Ini yang menjadi blind spot mereka berkumpul, bekerjasama antara satu sama lain dan boleh merancang apa sahaja,” katanya kepada Mingguan Malaysia, semalam.
Semalam media melaporkan kegiatan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang merekrut ahli baharu di negara iaitu dalam kalangan buruh berjaya dibongkar polis susulan penahanan 36 anggota kumpulan berkenaan dalam operasi polis sekitar Selangor dan Johor.
Dalam operasi bermula 28 April hingga 21 Jun lalu, kesemua mereka termasuk ketua kumpulan militan berkenaan berusia 25 hingga 35 tahun berjaya ditahan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, kumpulan itu yang terpengaruh dengan fahaman radikal Islamic State (IS) masuk ke negara ini secara sah untuk mencari pekerjaan khususnya dalam sektor buruh seperti kilang, pembinaan dan perkhidmatan.
Beliau berkata, kumpulan itu kemudian menyebarkan ideologi pengganas IS kepada komuniti migran terutama warga Bangladesh menggunakan platform media sosial dan aplikasi pesanan.
Shahul Hamid dalam pada itu berkata, beliau tidak menolak kemungkinan wujud gerakan merekrut dari negara asal lagi sebelum dihantar bekerja di sini.
“Jangan ingat mereka datang dengan tangan kosong. Ada yang direkrut awal-awal di Bangladesh, apabila sampai sini mereka tarik pula saudara-mara dan rakan senegara. Dengan jumlah pekerja asing yang terlalu ramai, siapa boleh pantau semuanya?” katanya.
Beliau berkata, kegagalan menutup ruang ini bakal membuka jalan kepada Malaysia dijadikan hab kumpulan radikal antarabangsa sama seperti insiden Daesh atau Jemaah Islamiah suatu ketika dahulu.
Sebagai langkah pencegahan, beliau menggesa kerajaan mengkaji semula dasar kemasukan pekerja asing dengan menambah baik tapisan keselamatan.
“Semua data pekerja asing nama, agama, lokasi tempat tinggal perlu dikongsi terus dengan polis. Majikan kena main peranan, kalau nampak kegiatan yang mencurigakan, lapor segera. Kita tidak mahu Malaysia jadi lubuk militan asing lagi,” tegasnya.
Beliau juga menyeru komuniti setempat supaya lebih peka dan berani menyalurkan maklumat jika mendapati wujud kumpulan ini di kawasan mereka.
Sementara itu, pakar geostrategis, Dr. Azmi Hasan berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi membawa masuk pekerja asing terutama melibatkan tapisan keselamatan perlu dilaksanakan sebelum mereka tiba di negara.
Beliau berkata, ini bermakna setiap ejen turut dipertanggungjawab memastikan rekod setiap pekerja bersih dan bebas daripada segala aktiviti jenayah, dadah serta militan.
Katanya, ia sebagai langkah awal bagi mengelakkan sebarang potensi ancaman keselamatan dan kegiatan jenayah yang boleh berlaku dalam negara.
“Pekerja asing dari beberapa negara lebih terdedah dan mudah direkrut untuk menganggotai kumpulan radikal militan termasuk dari Indonesia dan Sri Lanka.
“Tapisan keselamatan sehubungan itu perlu bermula di peringkat ejen dan mereka juga harus bertanggungjawab memastikan semua pekerja asing yang dibawa masuk bebas daripada sebarang kes,” katanya.-UTUSAN










