Selangor mahu cipta kejutan saingan ACC

Selangor mahu cipta kejutan saingan ACC

Katsuhito Kinoshi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mengakui laluan sukar bakal ditempuh anak buahnya selepas diundi dalam kumpulan maut bagi saingan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) 2025/2026.

Berdasarkan undian yang berlangsung semalam, Red Giants diletakkan dalam Kumpulan A bersama gergasi Thailand yang juga juara bertahan, Buriram United, naib juara musim lalu dari Vietnam, Cong An Hanoi FC serta BG Pathum (Thailand), Tampines Rovers FC (Singapura) dan pemenang aksi playoff.

Kata pengendali dari Jepun itu, pasukannya tiada pilihan lain jika berhasrat mara ke pusingan kalah mati ,selain memperagakan aksi terbaik dalam setiap perlawanan dengan mencipta keputusan positif.

“Anda tahu kita tiada pilihan bila berdepan pasukan-pasukan ini di peringkat kumpulan agar dapat layak ke peringkat kalah mati.

“Ini sasaran kita, semua lawan kita pasukan yang kuat. Sesetengah pasukan turut bersaing dalam ACLE (Liga Juara-Juara AFC Elit) dan mengikut pemahaman saya, finalis musim lepas pun ada.

“Jadi, ini satu peluang yang baik buat kita menunjukkan kemajuan dalam Liga Super dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2),” katanya selepas undian itu.

Sementara itu, penyerang Selangor, Faisal Halim menjelaskan Gergasi Merah akan cuba sedaya upaya untuk menambah baik persembahan pasukan bagi memberi saingan terbaik dalam kejohanan itu.

Mengakui bakal berdepan saingan hebat dalam Kumpulan A, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey bagaimanapun menganggap situasi itu akan memberi pengalaman yang baharu buat pasukannya.

“Saya berasa perlawanan seperti ini akan menambah baik kualiti pasukan sebab kita akan menentang pasukan yang berkualiti tinggi.

“Sudah tentu persiapan penting untuk kita bermain dalam ACC yang mana satu kejohanan bahartu. Sebagai pemain, kejohanan ini memberi satu semangat dan batu loncatan untuk menjadi lebih baik dalam perlawanan akan datang,” katanya.

Selain Selangor FC, satu lagi wakil negara, Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat tidak berdepan masalah untuk melepasi peringkat kumpulan.

Skuad Harimau Selatan yang menjuarai Liga Super sebanyak 10 kali berturut-turut diundi dalam Kumpulan B bersama Bangkok United dari Thailand, Nam Dinh FC (Vietnam), Lion City Sailors FC (Singapura), PKR Svay Rieng FC (Kemboja) dan satu pemenang aksi playoff.

Pertandingan itu, dijadual bermula pada 8 Ogos depan dengan aksi playoff melibatkan empat buah pasukan iaitu DH Cebu (Filipina), Ezra FC (Laos), Shan United (Myanmar) dan Kasuka (Brunei).

Aksi peringkat kumpulan pula akan dilangsungkan pertengahan bulan Ogos membabitkan kesemua 12 pasukan dengan juara dan naib juara bakal ke peringkat separuh akhir serta final pada Mei 2026.

Musim lalu, Kuala Lumpur City dan Terengganu FC mewakili negara di saingan tersebut dengan kedua-dua pasukan gagal melepasi peringkat kumpulan.

Buriram United muncul juara selepas menewaskan Cong An Hanoi di final menerusi penentuan penalti 3-2 selepas terikat 5-5 secara agregat sekali gus menyaksikan kelab dari Thailand itu menjuarai edisi sulung saingan Kejuaraan Kelab ASEAN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×