Dulu, sekolah pondok atau pengajian agama menjadi pilihan kedua bagi ibu bapa untuk anak-anak mereka, dengan stigma ‘mahu kerja apa selepas habis belajar nanti?’ sering membayangi institusi ini.
Bukan itu sahaja, sekolah agama atau madrasah juga suatu ketika dahulu sering dianggap tempat ‘buangan’ dihuni oleh pelajar yang lemah akademik, atau menjadi tempat ‘rehabilitasi’ untuk anak-anak yang dikatakan bermasalah disiplin.
MAULANA JUHARI MUHAMMAD ALI
Pendidikan :
Sekolah Menengah
Agama Maran
Madrasah Addiniyah Narathiwat, Thailand
Jamiah Darul Uloom Al- Islamiyah Karachi, Pakistan
Ijazah Sanad Hadith Dr Sheikh Muhammad Ali Alawi Al Maliki Mekah Al Mukarramah
Khidmat dan Sumbangan
Bekas panel penulis khutbah Jumaat negeri Pahang dibawaj Jabatan Mufti Negeri Pahang
Pengetua Madrasah ah Tahfiz Darul Uloom Al-Islamiah, Sungai Salan, Jerantut.
Penceramah Program TV AlUstaz Astro Oasis dan Maya HD.
Panel Pemurniaan Akidah dan Syariah Jabatan Agama Islam Pahang.
Namun kini segalanya sudah jauh berubah. Kejayaan sekolah agama termasuk madrasah tahfiz melahirkan insan cemerlang dalam pelbagai bidang telah berjaya mengubah persepsi masyarakat. Sekolah agama kini bukan lagi pilihan terakhir sebaliknya destinasi utama pencarian ilmu.
Buktinya, semakin ramai ibu bapa berlatar belakang profesional, menghantar anak-anak mereka yang cemerlang dalam akademik ke institusi tahfiz dan madrasah, demi membentuk jati diri berteraskan ilmu dan adab.
Menurut Pengetua Madrasah Tahfiz Darul Uloom Al-Islamiah, Maulana Juhari Muhammad Ali, perubahan itu amat ketara jika dibandingkan zaman beliau mula-mula membuka pusat tersebut sekitar 1999.
“Dulu, yang dihantar ke madrasah ini biasanya pelajar yang tidak diterima di sekolah biasa. Ada yang demam panas, ada yang tidak lepas akademik, jadi mak ayah ‘serah’ sahaja ke pondok,” katanya tersenyum mengenang permulaan perjuangannya.
“Tapi sekarang lain, pelajar straight A pun masuk, yang graduate universiti pun masuk, bahkan ada ibu bapa yang sudah berpencen datang sendiri minta tempat untuk anak mereka sambung belajar agama,” katanya.
Katanya, ini menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya ilmu agama dan pengisian spiritual dalam pendidikan semakin meningkat.
Bercerita mengenai institusi yang dikelolanya itu, Juhari berkata, madrasah tahfiz berkenaan kini memiliki 14 cawangan di seluruh negara, termasuk di Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak malah terdapat juga di luar negara seperti Kemboja.
Katanya, terdapat kira-kira 277 pelajar berada di pusat utama, manakala keseluruhannya mencecah ribuan.
“Bukan sahaja mengeluarkan pelajar dalam bidang agama, pusat ini juga kini bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan agensi latihan TVET bagi memastikan tiada pelajar yang tercicir, khususnya yang tidak menamatkan pengajian agama secara formal.
“Kita hendak mereka keluar sama ada sebagai ulama atau teknokrat. Kalau tidak habis tahfiz pun, mereka akan bawa kemahiran, jadi orang yang boleh berdikari,” jelasnya.
Namun katanya, dalam kejayaan itu, tidak dinafikan wujud cabaran besar yang perlu ditangani oleh para pendidik agama masa kini.
“Antara cabaran paling utama adalah pengaruh media sosial dan alat peranti di tangan pelajar. Jika tidak dikawal dengan baik, ia menjadi faktor utama pelajar hilang fokus dalam pengajian.
“Selain itu, isu kurangnya adab dan moral dalam kalangan generasi muda turut menjadi cabaran yang besar bagi institusi pendidikan.
“Zaman kita dulu, bila ustaz pandang pun kita sudah faham maksudnya. Tapi hari ini, walau diulang beberapa kali pun, pelajar masih sukar nak faham. Mereka kurang sensitif terhadap teguran,” katanya.
Namun di sebalik cabaran itu, beliau optimis dan percaya bahawa perubahan yang berlaku hari ini adalah sebahagian daripada perkembangan zaman yang perlu ditangani dengan hikmah dan strategi.
Paling penting, katanya, institusi agama perlu kekal relevan, bukan sahaja dari sudut kandungan ilmu tetapi juga pendekatan dan kesediaan menghadapi realiti semasa.
Dan apabila ditanya tentang Anugerah Perkhidmatan Agama yang diterimanya pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang, baru-baru ini, beliau menjawab dengan penuh rendah hati.
“Anugerah ini bukan untuk saya tetapi untuk emak dan ayah saya. Kalau bukan kerana pengorbanan mereka, saya takkan sampai ke mana-mana. Apa yang saya capai hari ini adalah atas susah payah mereka,” katanya.
Beliau turut menitip pesan kepada semua yang mengecap kejayaan agar tidak melupakan ibu bapa, walaupun mereka mungkin tidak mempunyai kelulusan akademik yang tinggi. – UTUSAN









