Mahkamah benar rayuan bekas AG

Mahkamah benar rayuan bekas AG

TOMMY THOMAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berjaya dalam usahanya untuk menyingkirkan Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain daripada mendengar kes saman berhubung pendakwaan jahat yang difailkan oleh ve­teran UMNO, Tan Sri Shahrir Ab. Samad.

Ia selepas panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Supang Lian yang bersidang bersama Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin sebulat suara membenarkan rayuan yang difailkan oleh Tommy.

“Kami mendapati penemuan dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi bukanlah berdasarkan buku yang ditulis oleh perayu (Tommy) atau berdasarkan pliding yang difailkan oleh responden (Shahrir).

“Kami dapati kenyataan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi terbentuk daripada pendapatnya sendiri dan bukannya berdasarkan merit. Dapatan hakim dalam permohonan untuk membatalkan kes adalah tidak perlu.

“Berdasarkan penemuan di­buat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, kami dapati terdapat risiko akan berlakunya berat sebelah walaupun perkara itu mungkin ia tidak disengajakan,” kata Hakim Faizah yang membaca penghakiman ringkas pa­nel terbabit.

Sehubungan itu, selepas mem­benarkan rayuan tersebut, panel terbabit mengarahkan agar Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar menarik diri daripada semua prosiding dan perbi­caraan bagi kes saman tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan Shahrir membayar kos sebanyak RM30,000. Dengan keputusan semalam, kes saman di antara Shahrir dan Tommy akan didengar di hadapan hakim baharu.

Pada prosiding semalam, Tommy diwakili oleh peguam Alan Adrian Gomez manakala Shahrir diwakili peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Pada 26 Ogos 2024, Tommy memfailkan permohonan untuk menyingkirkan Pesuruhjaya Kehakiman itu atas dakwaan Hakim Roz Mawar telah membuat banyak dapatan tidak berasas serta bercanggah dengan tuntutan saman itu dan kete­rangan yang dikemukakan di hadapan mahkamah.

Dakwa Tommy, Hakim Roz Mawar telah menentukan terlebih dahulu keputusan saman Shahrir terhadap Tommy menyebabkan pihaknya tidak akan mendapat perbicaraan yang adil terus mendengar kes saman itu.

Pada 3 Julai 2024, Roz Mawar menolak permohonan Tommy untuk membatalkan saman itu. Kes itu telah ditetapkan untuk perbicaraan selama tujuh hari iaitu dari 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026.

Pada 4 Disember 2023, Shahrir memfailkan saman itu de­ngan menamakan Tommy, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya; SPRM dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Berdasarkan penyataan tuntutan, plaintif (Shahrir) mendakwa, selepas berlakunya perubahan kerajaan yang sebelum ini dipimpin oleh Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH), ramai ahli politik daripada pelbagai latar belakang dan daripada UMNO yang disiasat SPRM.

Ujar beliau, dia juga telah sasaran siasatan dan didakwa secara terpilih dengan niat jahat.

Oleh itu, Shahrir antara lain menuntut satu pengisytiharan bahawa kesemua defendan telah melakukan siasatan, tangkapan dan pendakwaan secara salah serta telah melakukan misfeasens dalam pejabat awam.

Selain itu, Shahrir menuntut pampasan sebanyak RM20 juta atas penyiksaan mental, jiwa dan raga serta kerosakan reputasinya serta ganti rugi am dan teladan yang berjumlah RM10 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×