Baitulmaqdis merupakan tanah suci yang signifikan kepada umat Islam di seluruh dunia. Tanah yang terletaknya Masjid al-Aqsa bukan sekadar menjadi simbol sejarah Islam, namun kawasan ini juga merupakan simbol akidah dan maruah umat Islam.
Hal ini kerana Masjid al-Aqsa merupakan kiblat pertama umat Islam dan tempat berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj. Malangnya, tanah suci ini sekarang sedang berada di bawah kekejaman Israel yang secara jelas menjajah dan bertindak agresif terhadap wilayah ini.
Pada ketika ini, identiti Islam Baitulmaqdis semakin terancam dan berada dalam bahaya. Media antarabangsa melaporkan peningkatan aktiviti Yahudisasi Al-Quds apabila lebih 700 pendatang haram Yahudi menceroboh kawasan Masjid al-Aqsa, membina penempatan haram dan mengganggu keamanan umat Islam pada awal Jun tahun lalu.
Menurut kenyataan pemimpin Ikhwan Muslimin Jordan, Dr. Hammam Said, ancaman terhadap Masjid al-Aqsa sudah berada pada tahap bahaya. Beliau memberi amaran dengan menyatakan Israel sedang berusaha mempercepatkan pembinaan ‘Haikal Sulaiman’, sebuah kuil Yahudi, di tapak masjid ini. Mereka ingin meruntuhkan Masjid al-Aqsa agar dapat mendirikan kuil tersebut.
Hammam menyifatkan ia sebagai ancaman paling bahaya pernah terjadi dalam sejarah konflik Al-Quds. Hal ini kerana tindakan provokatif terhadap undang-undang antarabangsa mencetuskan konflik keagamaan yang besar.
Israel juga dilaporkan memperluas sistem pengawasan pintar yang dapat mengecam wajah penduduk Palestin di sekitar kawasan Masjid al-Aqsa dan Al-Quds Timur.
Perkara ini mencetuskan kebimbangan terhadap hak privasi dan keselamatan penduduk, selain merupakan penindasan moden yang terang-terangan menyekat hak asasi kebebasan manusia di kawasan itu.
Dalam kenyataan penulis Palestin, Jalal Abukhater menyatakan teknologi pengecaman wajah itu bertujuan menyekat rakyat negara itu daripada hak mereka.
Akhbar Al Jazeera melaporkan pada 26 Mei lalu, kumpulan pelampau sayap kanan Israel menceroboh kawasan Masjid al-Aqsa sempena sambutan Hari Jesrusalem.
Peristiwa ini akhirnya mengundang kecaman antarabangsa. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan bersedia menubuhkan dana wakaf bagi membangunkan institusi pendidikan dan kesihatan di Baitulmaqdis.
Dana wakaf khas ini bertujuan membantu madrasah, Universiti Al-Quds serta hospital untuk terus bertahan dalam menghadapi cabaran.
Langkah ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperjuangkan hak dan maruah rakyat Palestin, terutama dalam aspek kelangsungan ilmu dan kebajikan.
Selain itu, Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri beberapa kali mengeluarkan kenyataan rasmi mengecam tindakan Israel. Malaysia secara tegas mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), negara-negara Islam dan masyarakat antarabangsa mempertahankan status Masjid al-Aqsa.
Malaysia antara negara yang menyokong Palestin dan berharap perancangan Israel untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dapat dicantas. Malangnya, negara-negara Islam masih lagi tidak tegas dalam mempertahankan tanah suci umat Islam ini. Beberapa negara Arab juga secara terbuka menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel.
Dunia Islam harus berhenti berada dalam kelemahan dan bersatu menentang penindasan Israel melalui pelbagai cara, misalnya dari aspek diplomatik dan ekonomi.
Umat Islam perlu bersatu dalam menolak normalisasi dengan Israel dan berusaha memperjuangkan Baitulmaqdis. Hal ini kerana Masjid al-Aqsa bukan sekadar simbol sejarah tetapi lambang maruah umat Islam. Oleh yang demikian, masyarakat Islam perlu bangkit menyuarakan solidariti dan menyumbang dalam apa jua bentuk ke arah pembebasan Baitulmaqdis.-UTUSAN
BAHIRAH JAMEL
Universiti Malaya










