Jangan pandang rendah, graduan komunikasi kekal relevan

Jangan pandang rendah, graduan komunikasi kekal relevan

GRADUAN komunikasi mempunyai prospek kerjaya yang lebih luas dan fleksibel kerana kebolehupayaan mempraktikkan ilmu komunikasi antaranya di sektor kerajaan, swasta, pemasaran, pengiklanan, perhubungan awam, penyiaran, kewartawanan dan sebagainya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK dahulu, bidang pengajian komunikasi yang ditawarkan di banyak universiti dalam dan luar negara menjadi antara pilihan popular dalam kalangan pelajar.

Oleh kerana bidang ini dikategorikan sebagai bidang sastera atau sains sosial, maka interpretasi umum mengenai aliran ini juga agak abstrak dan kabur. Ada yang beranggapan bidang ini sesuai untuk mereka yang ‘pandai bercakap’, suka populariti, dan berparas menawan kerana graduan akan lebih sering muncul di layar media massa dan perlu untuk menarik perhatian umum.

Tidak kurang juga yang menganggap bidang komunikasi sebagai bidang yang ‘senang’ atau kurang mencabar kemampuan intelek kerana tidak melibatkan pengiraan yang kompleks atau kajian teknikal rumit seperti bidang perubatan, kejuruteraan dan sebagainya.

Ironinya, ada juga yang beranggapan komunikasi ialah bentuk kemahiran yang boleh diperoleh di luar kampus universiti tanpa perlu bersaing dengan graduan dari jurusan lain selain boleh dipraktikkan sesiapa sahaja walaupun tanpa pendidikan formal dan mempunyai sijil kelayakan dari universiti.

Namun, tidak kurang juga yang beranggapan bidang ini sangat diperlukan di semua sektor. Majikan misalnya, memerlukan graduan yang boleh berkomunikasi dan berkemahiran dalam menyampaikan idea serta maklumat melalui lisan mahupun penulisan secara strategik serta berpengaruh. Ini kerana ia melibatkan komunikasi dan perhubungan dengan pelbagai golongan yang berkepentingan seperti pengguna, pelabur saham, kerajaan, media serta rakan strategik bagi industri tertentu pada setiap masa.

Selain itu juga, komunikasi yang berkesan ketika krisis sangat diperlukan organisasi untuk mengurus reputasi, menyampaikan dan menyusun naratif.

Bagi mereka yang memahami komunikasi dan asas praktikal, graduan bidang ini mempunyai prospek kerjaya yang lebih luas dan fleksibel kerana kebolehupayaan mempraktikkan ilmu di sektor kerajaan, swasta, pemasaran, pengiklanan, perhubungan awam, penyiaran dan sebagainya.

Di awal 1970-an, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang ketika itu dikenali sebagai Institut Teknologi Mara (ITM) merupakan antara universiti awam yang mempelopori program komunikasi. Ilmu dan kemahiran ketika itu lebih menekankan teori komunikasi, media massa, gaya penulisan kewartawanan dan etika dalam berkomunikasi melalui media tradisional seperti radio, televisyen, surat khabar serta majalah.

Ternyata, graduan yang lahir dari universiti-universiti ini begitu mahir dalam penulisan laporan, berita dan analisis laporan media, maka tumpuan kerjaya ketika itu ialah dalam bidang penyiaran, perhubungan awam dan kewartawanan.

Namun hari ini, di kebanyakan universiti awam dan swasta yang menawarkan bidang komunikasi bukan sahaja membincangkan teori-teori komunikasi yang masih relevan tetapi juga bidang ini dilihat semakin progresif melalui perkembangan domainnya.

Antara kursus yang ditawarkan ialah komunikasi korporat, komunikasi kesihatan, komunikasi politik dan komunikasi psikologi. Selain itu, pelajar turut didedahkan kepada aplikasi praktikal melalui tajuk atau bab tertentu misalnya komunikasi digital, media sosial, komunikasi visual dan analisis data. Maka, peluang graduan untuk menembusi pelbagai cabang kerjaya juga semakin meluas antaranya sebagai penulis web digital, penganalisa media sosial, eksekutif pemasaran digital, penganalisa komunikasi data, pengurus komunikasi korporat, siniar (podcast), pencipta kandungan dan sebagainya.

PERANAN LEBIH BESAR
Seiring dengan kemajuan teknologi digital dan media sosial, graduan ini tidak lagi terikat sepenuhnya kepada amalan kerjaya komunikasi yang dilakukan oleh generasi graduan sebelumnya.

Untuk memastikan kesinambungan ini, ia melibatkan hubungan simbiotik antara universiti, ahli akademik dan pemain utama industri bagi memastikan perubahan ekosistem media ini juga seiring dengan keperluan industri dan kecanggihan teknologi serta kesediaan semua pihak untuk berintegrasi bagi mencapai matlamat sama.

Walaupun graduan komunikasi dianggap perlu untuk ‘pandai bercakap’, namun pada hari ini, mereka juga harus boleh menerapkan kegunaan kecerdasan buatan (AI) dalam bidang kerjaya.

AI bukan sahaja diguna-pakai oleh graduan kejuruteraan, saintis data dan perubatan, sebaliknya bidang komunikasi juga memerlukan kemahiran ini untuk tujuan tertentu. Misalnya, AI boleh digunakan untuk memantau jenama mereka di sosial media atau dalam sebarang bentuk laporan yang boleh didapati di media sosial. Kaedah ini dinamakan pemantauan media.

Selain itu, pengamal komunikasi mesti dilihat sebagai seorang yang boleh berkomunikasi dengan berkesan dan dalam tempoh waktu yang pantas. Pengamal komunikasi antara golongan yang mempunyai jadual kerja yang padat, namun mereka tetap perlu komited untuk berkomunikasi dengan setiap persoalan diajukan audien melalui cara bersesuaian.

Maka, penggunaan Chatbot dilihat sebagai medium berkesan untuk merespon persoalan audien secara automatik dan pantas terutamanya pada peringkat awal komunikasi dan ia perlu disusuli komunikasi secara interpersonal. Ini penting agar audien berasa dihargai dan ia akan membentuk perhubungan yang boleh dipercayai untuk tempoh jangka masa panjang.

Antara tugas hakiki pengamal komunikasi juga untuk menganalisa data, sentimen dan respon masyarakat terhadap aktiviti atau kempen yang dijalankan sesebuah organisasi, Begitu juga analisa boleh dibuat mengenai persepsi umum tentang imej organisasi tertentu.

Oleh kerana bidang komunikasi dan teknologi ini bersifat dinamik dan progresif dalam kadar masa yang begitu pantas, ia turut memberi kesan kepada institusi pendidikan yang pastinya mempunyai kekangan tertentu untuk memenuhi keperluan ini dalam tempoh masa singkat.

Maka, graduan komunikasi boleh juga mengambil kursus-kursus yang berorientasikan jangka pendek dalam bidang media digital, AI dan komunikasi strategik, pemasaran digital, komunikasi strategik dan teknologi serta sebagainya yang ditawarkan organisasi atau entiti tertentu agar pengamal komunikasi kekal relevan dan mampu memenuhi ekspektasi pasaran semasa.-UTUSAN

 

DR. Nadiah Abdul Aziz ialah Ketua Program Perhubungan Awam dan Pensyarah Kanan di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×