Kerajaan negeri, PBT berhak larang penjualan vape - KKM

Kerajaan negeri, PBT berhak larang penjualan vape – KKM

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebarang keputusan untuk tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan rokok elektronik atau vape merupakan hak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, langkah tersebut boleh diambil berdasarkan pertimbangan kesihatan awam serta kepentingan rakyat setempat.

KKM bersedia memberi panduan teknikal dan dasar kesihatan awam kepada kerajaan negeri bagi menyokong pelaksanaan kawalan terhadap produk merokok termasuk vape di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

“KKM mengambil maklum beberapa negeri seperti Johor, Terengganu, Perlis, Pahang, Kelantan dan Kedah telah mengambil tindakan proaktif untuk tidak membenarkan penjualan e-rokok atau vape,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah dengan menggesa agar vape diharamkan di seluruh negara setelah produk itu terbukti memudaratkan kesihatan dan sering menjadi langkah awal kepada ketagihan dadah dalam kalangan belia.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap budaya penggunaan vape yang semakin berleluasa dalam kalangan remaja di negara ini.

Menurut KKM, Akta 852 mula dikuatkuasakan secara berperingkat sejak 1 Oktober 2024 dan akan berkuat kuasa sepenuhnya pada 1 Oktober tahun ini dengan kawalan kini berada di peringkat awal dan dilaksanakan secara berfasa.

“Buat masa ini, KKM memberi tumpuan kepada pelaksanaan penguatkuasaan dan kawalan menyeluruh melibatkan aspek pendaftaran, pengiklanan, promosi, penjualan, pembungkusan, pelabelan serta larangan penjualan kepada Orang Belum Dewasa (OBD).

“KKM akan terus bekerjasama rapat dengan semua kerajaan negeri agar pelaksanaan dan penguatkuasaan kawalan ke atas produk merokok termasuk vape dapat dilaksanakan secara seragam dan tidak bercanggah dengan Akta 852,” ujarnya.

Jelasnya, penilaian menyeluruh terhadap keberkesanan akta ini akan dilaksanakan selepas penguatkuasaan sepenuhnya bermula 1 Oktober 2025 termasuk aspek pendaftaran produk serta larangan mempamerkan produk merokok.

“Walaupun pengharaman penuh terhadap vape belum dilaksanakan, KKM menegaskan komitmennya memperketat kawalan melalui dua strategi utama.

“Pertama, kawalan ke atas aspek pendaftaran, pengiklanan, promosi, penjualan, pembungkusan dan pelabelan semua produk merokok termasuk vape. Kedua, kawalan amalan merokok di kawasan larangan merokok serta larangan merokok bagi OBD di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta 852,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×