BENTONG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang mematahkan cubaan menyeludup masuk barangan skrap elektronik (e-waste) dan logam dari luar negara bernilai RM4.4 juta menerusi dua serbuan di Pelabuhan Utara, Klang, Selangor, baru-baru ini.
Pengarahnya, Mohd. Asri Seman berkata, rampasan itu melibatkan tujuh kontena dengan jumlah berat keseluruhan mencecah 152,486 kilogram, hasil kerjasama strategik pasukan penguatkuasa JKDM Bentong bersama pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, barangan tersebut diimport dari Amerika Selatan dan Jepun, dipercayai untuk diproses semula secara haram di negara ini.
“Apa yang membimbangkan, kedua-dua kes ini melibatkan syarikat pengimport sama, yang dipercayai bertindak sebagai dalang dalam cubaan menyeludup masuk barangan larangan dengan menggunakan taktik pengikraran tidak benar,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JKDM Bentong di sini hari ini.
Menurut Mohd. Asri, setakat ini tiada tangkapan dilakukan namun siasatan sedang dijalankan secara mendalam terhadap syarikat terbabit termasuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab membuat pengisytiharan palsu dan mengurus penghantaran kontena tersebut. – UTUSAN









