ALOR SETAR: Penumpang boleh membuat aduan kepada pemandu bas sekiranya tali pinggang berada dalam keadaan tidak baik sebelum memulakan perjalanan.
Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, pengusaha bas perlu bertanggungjawab dalam memastikan bas yang bermula 1 Januari 2020 wajib mempunyai tali pinggang keledar manakala bas sebelum itu disaran menyediakan kemudahan itu demi keselamatan penumpang.
Katanya, pemeriksaan JPJ terhadap bas di negeri ini mendapati kebanyakan tali pinggang keledar tidak berfungsi dengan baik.
“Oleh itu, JPJ Kedah akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi terlibat untuk melaksanakan operasi pematuhan tali pinggang dari semasa ke semasa.
“Ini soal keselamatan, saya ingatkan pemandu bas agar menyediakan kemudahan itu yang memang boleh digunakan, sebab kita lihat kemudahan itu ada di tempat duduk, tetapi keadaannya tidak bagus, ini tidak adil apabila kita mahu saman, kemudahan itu tidak ada,” katanya pada sidang akhbar di Plaza Tol Alor Setar Utara, di sini semalam.
Terdahulu, JPJ Kedah melakukan pemeriksaan membabitkan 18 buah bas iaitu 14 daripadanya bas ekspres manakala empat lagi bas persiaran dalam operasi khas itu.
Van Lutam berkata, seramai 18 orang penumpang bas ekspres dan persiaran yang tidak memakai tali pinggang keledar diambil tindakan oleh JPJ Kedah dalam operasi itu.
Bagaimanapun, hanya 16 daripadanya dikompaun RM300 setiap seorang manakala dua penumpang di bawah usia 18 tahun hanya diberikan nasihat dan advokasi tentang pemakaian tali pinggang keledar.
“Bermula semalam (kelmarin), JPJ Kedah melaksanakan penguatkuasaan penuh terhadap pemakaian tali pinggang keledar bagi pemandu dan semua penumpang bas ekspres dan bas persiaran.
“Ia selaras dengan peruntukan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) 1978 Pindaan (2008),” katanya.
Katanya, JPJ Kedah mahu melakukan taktik penyamaran bagi mengesan pemandu dan penumpang bas yang masih tidak memakai tali pinggang keledar.-UTUSAN











