Laman media sosial wacana tuntas mahasiswa

Laman media sosial wacana tuntas mahasiswa

MEDIA sosial memberi peluang kepada mahasiswa menyebarkan ilmu dalam pelbagai bentuk seperti infografik, video pendek, sesi siaran langsung dan penulisan artikel mini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era digital masa kini, media sosial menjadi medium komunikasi paling dominan dalam kalangan masyarakat, khususnya mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurut Laporan Digital 2024: Malaysia oleh DataReportal, terdapat lebih 28.68 juta pengguna media sosial di Malaysia, bersamaan 83.1 peratus daripada jumlah penduduk. Dalam kalangan mahasiswa, penggunaan media sosial menjadi sebahagian daripada gaya hidup harian mereka.

Universiti Teknologi Mara (UiTM), sebagai IPT terbesar di Malaysia, mempunyai lebih 170,000 pelajar yang secara aktif berinteraksi di pelbagai platform digital. Namun, sebagai golongan intelektual, mahasiswa tidak seharusnya hanya menjadikan media sosial sebagai alat hiburan tetapi perlu memanfaatkannya sebagai ruang menyemai ilmu, memacu inovasi dan memperkasa komuniti melalui kandungan bermanfaat.

Media sosial memberi peluang kepada mahasiswa menyebarkan ilmu dalam pelbagai bentuk seperti infografik, video pendek, sesi siaran langsung dan penulisan artikel mini.

Mahasiswa memanfaatkan ruang ini untuk memberikan respon terhadap dasar kerajaan, krisis kemanusiaan global atau cabaran pendidikan tinggi.

Platform seperti Instagram dan YouTube digunakan ramai pelajar untuk berkongsi kisah inspirasi tentang bagaimana mengatasi cabaran keluarga, kewangan dan akademik untuk berjaya di universiti.

Media sosial juga menjadi medan terbaik mempamerkan hasil inovasi pelajar. Mereka menggunakan media sosial untuk menunjukkan prototaip rekaan dari teknologi pertanian pintar hingga aplikasi kesihatan digital.

Sebagai ‘suri teladan’, mahasiswa UiTM berupaya menyemai nilai-nilai murni seperti etika digital, toleransi, semangat sukarelawan dan kepimpinan melalui kandungan yang dimuat naik.

Kempen Saring Sebelum Sebar oleh pelajar Fakulti Sains Maklumat misalnya, menggalakkan semakan fakta sebelum menyebarkan maklumat. Ia merupakan sumbangan besar dalam memerangi penyebaran berita palsu dalam kalangan masyarakat.

Media sosial bukan semata-mata untuk hiburan tetapi merupakan ruang penting untuk mahasiswa menampilkan keilmuan, membina pengaruh positif dan menjadi suara perubahan.

Mahasiswa UiTM khususnya, harus melihat peranan mereka bukan sahaja sebagai pelajar tetapi pemimpin masa hadapan dan ejen pembaharuan dalam masyarakat.

Dengan pemanfaatan bijak media sosial, mahasiswa bukan sekadar pengguna tetapi pencipta nilai, penyebar ilmu dan pemangkin perubahan dalam era digital ini.-UTUSAN

MOHD. ZAIRUL MASRON
Pensyarah Kanan/Koordinator Media Sosial
Pejabat Komunikasi Strategik
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×