Kerjaya pendidik bukan pilihan terakhir

Kerjaya pendidik bukan pilihan terakhir

KERJAYA sebagai pendidik menjadi medan dakwah ilmu, platform perubahan sosial dan ladang pahala dunia akhirat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebuah sekolah luar bandar, seorang guru muda yang baharu memulakan kerjayanya berdiri di hadapan kelas, termenung memerhati gelagat murid-murid yang riuh dan kurang memberi perhatian. Dalam hatinya mungkin timbul persoalan, “Adakah ini laluan kerjaya yang tepat buatku?”

Situasi sebegini mungkin dialami sebahagian pendidik muda, terutamanya mereka yang menyertai bidang pendidikan selepas mencuba peluang dalam bidang lain. Namun, kerjaya sebagai pendidik tidak sepatutnya dilihat sebagai pilihan terakhir tetapi sebagai profesion terhormat yang memberi impak besar kepada masa hadapan negara.

Menjadi seorang pendidik bukan hanya memerlukan kelayakan akademik. Ia menuntut keikhlasan, komitmen serta kesediaan untuk menyumbang secara berterusan. Jiwa seorang pendidik terbina melalui pengalaman, latihan dan kesedaran tentang tanggungjawab besar dalam membentuk karakter serta masa hadapan anak bangsa.

Keupayaan untuk memahami keperluan pelajar yang pelbagai, menyampaikan ilmu secara berkesan, bersabar dalam mendidik adalah nilai yang tidak boleh diukur dengan sekadar kelulusan atas kertas.

Tanpa kefahaman yang mendalam tentang peranan sebenar dalam profesion ini, seseorang pendidik mungkin cepat berasa letih, terasing atau kehilangan arah. Namun, perkara ini boleh ditangani sekiranya mereka diberi latihan yang mencukupi serta sokongan sistematik daripada pihak sekolah dan kementerian.

Terdapat juga situasi individu menyertai dunia pendidikan selepas tidak berjaya dalam bidang lain. Ini bukan kesalahan kerana setiap insan berhak diberi peluang untuk berkembang. Namun begitu, penting memastikan mereka yang menceburi bidang ini melakukannya dengan kesedaran dan kesediaan yang sepenuhnya. Justeru, institusi pendidikan guru dan pihak berwajib perlu menjalankan proses pemilihan yang bukan hanya menilai akademik tetapi juga minat, karakter dan kematangan emosi calon.

Sistem pendidikan yang kukuh tidak hanya bergantung pada kurikulum atau infrastruktur tetapi juga kualiti pendidik yang menggerakkannya.

Finland misalnya, meletakkan syarat ketat dalam pemilihan calon guru. Hanya individu yang menunjukkan potensi tinggi dalam aspek kemanusiaan, motivasi dan profesionalisme diterima masuk ke institusi latihan guru. Hasilnya, sistem pendidikan mereka diiktiraf sebagai antara terbaik di dunia.

Motivasi pula elemen penting yang perlu dipelihara secara konsisten. Ia bukanlah sekadar semangat di hari pertama, tetapi bahan bakar harian yang mendorong pendidik untuk terus bertahan dan berinovasi. Oleh itu, peranan pemimpin sekolah, rakan sejawat dan pihak pentadbiran sangat penting dalam mewujudkan budaya kerja yang menyokong, inklusif dan mendorong pertumbuhan profesional secara berterusan.

Malangnya, kajian menunjukkan sebahagian besar guru baharu meninggalkan profesion ini dalam lima tahun pertama. Keadaan ini membawa implikasi besar dari segi masa, kos latihan dan kehilangan potensi yang belum sempat berkembang. Apabila seorang guru yang dilatih dan diberi kepercayaan meninggalkan kerjaya ini terlalu awal, ia bukan sahaja kerugian kepada individu tersebut tetapi juga masyarakat dan sistem pendidikan secara keseluruhan.

Tambahan pula, kesan dari kehadiran pendidik yang kurang bermotivasi atau tidak bersedia dari segi mental dan emosi turut boleh dirasai murid-murid. Interaksi yang hambar, pengajaran yang kurang berkesan dan ketiadaan hubungan positif antara guru dan pelajar akan menjejaskan suasana pembelajaran serta pencapaian akademik.

Kerjaya ini memerlukan pendekatan yang lebih strategik dan berfokus dalam aspek pembangunan sumber manusia.

Akhirnya, kerjaya pendidik tidak boleh lagi dilihat sebagai ruang ‘berlindung’ selepas gagal di tempat lain. Ia adalah medan dakwah ilmu, platform perubahan sosial dan ladang pahala dunia akhirat.

Bagi mereka yang benar-benar memilihnya dengan hati, kerjaya ini akan menjadi jalan kebahagiaan dan kepuasan yang sukar diganti. Tetapi bagi mereka yang hadir hanya kerana keadaan memaksa, besar kemungkinan tidak akan bertahan lama.-UTUSAN

MUHAMMAD AIMAN ASYRAF HANAFI
Jabatan Sains Sosial, Pusat Asasi Sains Sosial
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×