KUALA NERUS: Operasi mencari Mohd. Noor Abdullah, 64, nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar mencandat sotong di perairan Pulau Bidong sejak 25 Jun lalu, ditamatkan pada pukul 7 petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin bin Che Awang berkata, operasi yang memasuki hari ketujuh itu berakhir selepas tiada sebarang petunjuk baharu.
Katanya, pencarian melibatkan keluasan 148.95 batu nautika persegi sekitar perairan Pulau Kapas membabitkan KM RAWA dan Bot Pengawal 16 oleh Maritim Malaysia.
“Gerakan mencari dan menyelamat besar-besaran kemudian dijalankan bersama komuniti nelayan,”katanya.
Selasa lalu, mangsa dipercayai keluar ke laut seorang diri dan gagal pulang ke rumah. Pada operasi kedua , pihak Maritim menjumpai tong ikan berwarna jingga dan pelapik tempat duduk yang disahkan milik nelayan itu. – UTUSAN










