KUALA LUMPUR: Tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia memberangsangkan pada separuh pertama tahun ini dengan mendahului di peringkat serantau dalam bilangan, harga jumlah dana yang dikumpul dan keseluruhan permodalan pasaran IPO, walaupun dalam ketidaktentuan pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, sebagai bursa terbesar di ASEAN dari segi bilangan syarikat tersenarai, pihaknya terus memperkukuh kedudukan sebagai saluran utama pengumpulan dana.
Katanya, pada 2024, Bursa Malaysia mendahului liga IPO rantau ini dari segi bilangan IPO iaitu sebanyak 55 dan jumlah dana yang dikumpul melalui IPO.
“Kami terus memudahcara syarikat mengumpul dana, kami juga berbangga menyaksikan syarikat-syarikat bergerak maju dari Pasaran LEAP ke Pasaran ACE, atau dari ACE ke Pasaran Utama, yang menandakan pertumbuhan dan kematangan.
“Sejak 2020, lebih 40 syarikat telah berjaya membuat peralihan ini,” katanya dalam ucapan sempena Invest ASEAN-Malaysia Conference 2025 di sini hari ini.
Oleh itu, Fad’l mengalu-alukan syarikat yang disenaraikan di luar negara untuk membuat penyenaraian sekunder di Bursa Malaysia.
“Bagi merangsang penyertaan pasaran rentas sempadan yang lebih besar dan pendedahan pasaran, pihaknya giat menjalinkan kerjasama.
“Baru-baru ini kami menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memudahkan penyenaraian silang dana dagangan Bursa (ETF) yang berasaskan aset asing di Bursa Malaysia.
“Kami juga sedang membuat kemajuan dalam penyenaraian ETF ESG (alam sekitar, sosial dan tadbir urus) pertama kami iaitu FTSE4GOOD Bursa Malaysia ETF, yang direka untuk menawarkan pelabur institusi dan runcit akses kepada syarikat tersenarai utama yang mengamalkan amalan kemampanan yang baik,” katanya.
Fad’l berkata, semua usaha itu bertujuan untuk menjadikan pasaran modal Malaysia lebih rancak dan berdaya saing.
“Dalam memacu kecairan dan kerancakan pasaran, kami akan terus membina penyertaan dagangan yang kukuh dan mampan merentasi pelabur institusi dan runcit, dari dalam dan luar negara,” katanya. – UTUSAN










