KEMAMAN : Seorang pembantu jualan berputih mata apabila kerugian RM60,943 selepas terpedaya dengan penipuan tawaran kerja sambilan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, wanita berusia 32 tahun itu tampil membuat laporan polis Ahad lalu selepas menyedari dia tertipu dengan skim tersebut.
“Wanita itu mendakwa telah menerima satu panggilan daripada individu tidak dikenali pada 21 Jun lalu yang memberitahu dia memenangi hadiah berupa sebuah kerusi ‘Camping’ daripada sebuah laman web dan hadiah tersebut telah dihantar ke rumahnya beberapa hari kemudian.
“Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang dinamakan ‘Chill with Your Fest’ untuk memberikan maklum balas berkenaan hadiah yang diterima dan turut menerima ganjaran sebanyak RM8.00,” katanya hari ini.
Mohd. Razi berkata, mangsa kemudian melaksanakan beberapa tugasan yang diberikan untuk memberikan penilaian dan ‘review profile’ secara dalam talian.
“Mangsa mendakwa telah melakukan sebanyak sembilan transaksi berjumlah keseluruhan RM60,943.00 dalam tempoh tiga hari bermula 27 hingga 29 Jun lalu ke tujuh akaun berbeza. Bagaimanapun, selepas semua tugasan diselesaikan, mangsa tidak menerima komisen yang telah dijanjikan,” katanya yang turut memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN











