PETALING JAYA: Ahli perniagaan, Datuk Tei Jiann Cheing didakwa di Mahkamah Sesyen, Kota Kinabalu, Sabah semalam atas dua pertuduhan memberi rasuah melibatkan nilai RM350,000 berhubung permohonan lesen cari gali mineral di Sabah.
Turut didakwa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin) atas pertuduhan menerima rasuah itu.
Ketiga-tiga mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Juga. Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 16 (b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 iaitu memberikan wang rasuah dan Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 kerana menerima wang rasuah.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan seorang ADUN dan seorang ahli perniagaan kerana disyaki meminta dan menerima suapan kira-kira RM200,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali di Sabah.
Pada 23 Jun lalu, Azam mengesahkan penahanan seorang lagi ADUN kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah kira-kira RM150,000 atas skandal sama.
Andi Muhammad sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Kalabakan dari UMNO yang digantung keahliannya selama enam tahun manakala Yusof daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Sabah).
Yusof, 69 sebelum ini didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM200,000 daripada Jiann Cheing di sebuah restoran dalam hotel Kota Kinabalu pada pukul 2 petang 6 Mac 2023 sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan sebuah syarikat mendapat lesen mencari gali mineral di Sabah.
Sementara itu, Andi Muhammad, 44, pula didakwa menerima suapan wang tunai RM150,000 daripada tertuduh sama di depan kediamannya di Jalan Pantai Sembulan, Kota Kinabalu pada pukul 11 malam 12 Mei 2023 sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan sebuah syarikat mendapat lesen mencari gali mineral di Sabah.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama. Hakim membenarkan dua ADUN itu diikat jamin RM50,000 dan deposit RM10,000 bersama seorang penjamin tempatan.
Kedua-dua ADUN juga perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM dua bulan sekali sehingga kes selesai dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak menganggu saksi pendakwaan.
Jiann Cheing pula berdepan dua pertuduhan memberi suapan RM200,000 kepada Yusof dan RM150,000 kepada Andi Muhammad di sebuah restoran dalam hotel Kota Kinabalu pada 6 Mac 2023 serta di depan sebuah kediaman di Jalan Pantai Sembulan pada 12 Mei 2023.
Dia turut didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.-UTUSAN.










