TEMERLOH: Seorang bapa dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 13 sebatan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol dan mencabul anak kandungnya berusia 10 tahun, tiga tahun lalu.
Hakim Jamaludin Mat ketika membuat keputusan itu memerintahkan hukuman penjara tersebut dijalankan serentak sejak tertuduh ditahan pada 12 September 2022.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang berusia 54 tahun didakwa merogol anak kandungnya berusia 10 tahun tiga bulan, di sebuah rumah tidak bernombor di Maran pada pertengahan Mac 2022.
Bagi kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum. Bapa kepada enam anak terbabit turut didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandungnya di tempat sama kira-kira pukul 8 malam, 8 Ogos 2022.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Bagi kesalahan merogol, hakim menetapkan tertuduh dipenjara 20 tahun dan sebat 10 kali manakala bagi kesalahan amang seksual fizikal, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 10 tahun dan tiga sebatan. – UTUSAN










