Denda RM100 juta jika lompat parti, sokong parti lawan

Denda RM100 juta jika lompat parti, sokong parti lawan

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Denda sebanyak RM100 juta akan dikenakan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang jika melompat parti mahupun menyokong parti lawan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perkara itu terkandung dalam dokumen yang akan ditandatangani kelak oleh mereka sebelum menerima watikah untuk menjadi calon BN.

“Bukan sahaja akuan bersumpah (SD) banyak lagi dokumen yang mereka akan tandatangan selepas ini sebelum mereka disahkan menjadi calon BN pada PRN akan datang.

“Ia bukan isu baharu (menandatangani dokumen), tetapi banyak perkara-perkara baharu yang kita masukkan dalam dokumen perjanjian sebab kita tidak mahu ada lagi berlaku lompat parti mahupun menyokong parti lawan.

“Sekarang dokumen sudah sedia, calon sahaja kita sedang tapis dan teliti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, calon BN yang akan bertanding pada PRN Sabah akan menandatangani SD bagi mengelak isu lompat parti.

Katanya, perkara itu sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) asas parti dan dokumen tersebut kini sedang diperhalusi oleh barisan peguam.

Tindakan lompat parti sering mengubah landskap politik Sabah termasuk pada 2018 apabila enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menyertai parti Warisan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sekali gus Warisan membentuk kerajaan negeri.

Selepas PRN Sabah 2020, sebanyak empat ADUN daripada UMNO mengumumkan keluar parti sebelum menyertai Gabungan Rakyat Sabah. Pada 25 Mei 2023, DUN Sabah meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri bagi melarang ADUN bertukar parti.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×