PETALING JAYA: Philip Research Sdn. Bhd. menjangkakan sektor perbankan terus menawarkan profil pendapatan yang agak selamat dan berdaya tahan pada separuh kedua 2025, disokong oleh permintaan domestik yang stabil dan risiko kualiti aset yang boleh diurus.
Firma penyelidikan berkata, pihaknya kekal positif terhadap sektor ini, disokong oleh persekitaran operasi domestik yang baik dan risiko penurunan yang terhad kepada pendapatan.
Katanya, tarif timbal balik Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang diumumkan pada April menimbulkan risiko tidak langsung kepada sektor ini melalui perdagangan global dan momentum pertumbuhan yang berpotensi lebih lemah.
“Kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalam (OPR) tpada 3.00 peratus sepanjang 2025, disokong oleh pasaran buruh yang teguh, penggunaan domestik yang berdaya tahan dan aktiviti pelaburan.
“Pertumbuhan pinjaman diunjurkan kekal sihat pada lima hingga enam peratus pada 2025, disokong oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan dan pelancaran projek infrastruktur,” katanya dalam nota penyelidikan.
Firma berkata, bank kekal pada kedudukan yang baik, disokong oleh lapisan pengurusan yang mencukupi yang menyediakan penampan terhadap potensi risiko kualiti aset, terutamanya dalam segmen perusahan kecil dan sederhana (PKS) serta runcit, dengan tekanan kos dipantau dengan teliti.
“Kami menjangkakan pendapatan sektor perbankan agregat berkembang sebanyak lima peratus pada 2025, terutamanya didorong oleh peningkatan tujuh peratus tahun ke tahun dalam pendapatan faedah bersih dan pertumbuhan pinjaman sekitar tujuh peratus.
“Ini disokong oleh caj kredit bersih yang stabil sebanyak 22 mata asas dan nisbah kos kepada pendapatan sebanyak 45.1 peratus,” ujarnya.
Tambahnya, margin faedah bersih (NIM) bagi sektor ini nampaknya telah mencapai tahap terendah dan sepatutnya bertambah baik secara beransur-ansur, dengan purata 1.96 peratus untuk tahun ini.
Jelasnya, pertumbuhan pendapatan bukan faedah dijangka kembali normal kepada kira-kira tiga peratus untuk 2025, disokong terutamanya oleh pemulihan dalam pendapatan berasaskan fi.
“Kami mengekalkan panggilan ‘overweight’ ke atas sektor perbankan Malaysia. Kami menyukai CIMB Group Holdings Bhd. dengan saranan beli pada harga sasaran (TP) RM9.30 sebagai pilihan bermodal besar cair dengan jejak ASEAN yang kukuh,” ujarnya.
Selain itu, firma penyelidikan turut menyarankan beli terhadap Public Bank Bhd (TP: RM5.30) dan Hong Leong Bank Bhd. (TP: RM24.30), RHB Bank Bhd. (TP: RM7.90) Malayan Banking (TP: RM11.90) dan AMMB Holdings Bhd. (TP: RM6.30). – UTUSAN










