Perumahan mampu milik TOD tarik minat golongan muda

Perumahan mampu milik TOD tarik minat golongan muda

PROJEK perumahan rakyat berhampiran pengakutan awam dapat membantu mengurangkan kos sara hidup. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

USAHA kerajaan membangunkan perumahan mampu milik di atas atau berhampiran stesen pengangkutan awam dilihat sebagai langkah progresif yang selari dengan keperluan dan gaya hidup generasi muda masa kini. 

Pendekatan berkonsepkan pembangunan berorientasikan transit (TOD)  itu bukan sahaja memberi kelebihan dari segi akses mobiliti yang lebih cekap dan murah, malah mampu meningkatkan daya tarikan projek perumahan di kawasan bandar kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Ia merupakan antara  antara usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur. 

Sebelum ini media melaporkan, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook memberitahu wartawan kerajaan bakal memulakan satu peralihan dasar besar dengan memberi keutamaan kepada pembangunan perumahan mampu milik berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT).

Katanya, ia bagi mengurangkan kebergantungan kepada kereta dan menjadikan rumah lebih mampu milik.

Pekerja Swasta, Muhammad Ikram Hafizi berkata, keutamaan untuk memiliki rumah bukan lagi hanya pada harga semata-mata, tetapi juga lokasi strategik dan kemudahan akses ke tempat kerja.

“Kalau rumah dekat dengan MRT atau LRT, saya tak perlu bawa kereta ke tempat kerja setiap hari. Itu sangat menjimatkan masa dan kos kerana saya tak perlu fikir soal tol, minyak dan tempat letak kereta.

“Bagi orang muda macam saya yang sudah lebih lima tahun bekerja, memiliki rumah yang dekat dengan stesen pengangkutan awam memberi banyak kelebihan dari segi gaya hidup dan kewangan.

“Kalau harganya pula masih dalam kemampuan, itu memang jadi pilihan utama saya. Saya rasa konsep ini sangat sesuai untuk generasi muda yang mencari keseimbangan antara kerjaya, komitmen kewangan dan kualiti hidup,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, pekerja swasta, Nur Khumaira Roshizad berkata, cadangan berkenaan wajar disokong kerana memberi pelbagai manfaat jangka panjang kepada rakyat dan negara, terutama golongan muda yang ingin membeli rumah pertama. 

“Bagi saya, ia mampu mengurangkan kos sara hidup rakyat, khususnya dari aspek pengangkutan harian. Bila difikirkan semula, banyak perkara yang boleh kita jimat melalui perumahan seperti ini. 

“Langkah ini juga sejajar dengan amalan gaya hidup mampan dengan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam yang mesra alam, pelepasan karbon dapat dikurangkan dan kualiti udara bandar menjadi lebih baik.

“Selain itu, projek kediaman yang dibina di lokasi strategik berhampiran pengangkutan awam akan memudahkan akses ke tempat kerja, sekolah dan kemudahan awam yang lain. 

“Ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah meningkatkan produktiviti penduduk bandar,” katanya. 

Beliau berkata, dalam masa sama, ia turut membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan bandar utama. 

“Dengan lebih ramai beralih kepada pengangkutan awam, jumlah kenderaan persendirian di jalan raya dapat dikurangkan, sekali gus menjadikan perjalanan harian lebih lancar dan selamat,” katanya. 

Dalam pada itu, pekerja swasta, Muhammad Rafique Ishraf berkata, langkah itu dilihat mampu menggalakkan penggunaan pengangkutan awam secara menyeluruh, sekali gus menyokong usaha kerajaan ke arah pembangunan bandar pintar dan mampan melalui pengurangan pencemaran udara serta pemeliharaan alam sekitar.

“Dengan lokasi perumahan mampu milik seperti seperti Program Residensi Rakyat (PRR) yang berdekatan stesen LRT,  MRT atau perkhidmatan bas, penghuni dijangka lebih cenderung menggunakan pengangkutan awam untuk urusan harian mereka.

“Inisiatif ini juga berpotensi mengurangkan tekanan kos sara hidup, khususnya B40 yang sebahagian besar pendapatan dibelanjakan untuk petrol, tol, parkir dan penyelenggaraan kenderaan,’ ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×