UMNO tidak boleh bergantung kepada sejarah lampau

UMNO tidak boleh bergantung kepada sejarah lampau – Johari Ghani

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejarah lampau tidak boleh lagi dijadikan sandaran oleh UMNO untuk meraih sokongan, sebaliknya perlu mempamerkan komitmen terhadap isu semasa seperti integriti, ketelusan dan masa depan negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perubahan besar dalam strategi politik perlu segera dilakukan untuk kekal relevan dan menarik sokongan generasi muda.

Katanya, kejayaan politik juga tidak boleh disandarkan kepada individu semata-mata, sebaliknya memerlukan kekuatan pasukan.

“Generasi muda hari ini tidak berminat dengan cerita 60 tahun lalu. Mereka mahu tahu apa kita sedang buat dan apa perancangan untuk masa depan. Mereka mahukan pemimpin berwibawa, bebas rasuah dan boleh menjawab isu rakyat.

“Kita kena ada mentaliti pasukan. Kalau harap seorang sahaja, kita tidak akan ke mana. Saya kalah 4,000 undi kerana pasukan tidak tersusun,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa dekat sini, semalam.

Menteri Perladangan dan Komoditi ini berkata, parti berpotensi terus kehilangan sokongan jika gagal berubah seperti yang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) hingga PRU14.

Katanya, politik dengan bola sepak adalah sama kerana walau sehebat mana pun seorang pemain, tanpa sokongan pasukan, kejayaan tidak akan tercapai.

Beliau berkata, kejayaan Barisan Nasional (BN) merampas kembali Parlimen Titiwangsa dalam PRU15 adalah hasil persiapan rapi selama lebih empat tahun dan kerjasama padu jentera.

“Semua peringkat pimpinan dari cawangan sehingga pusat perlu lebih aktif turun padang dan mendekati golongan muda.

“Kita menang ketika tsunami politik kerana pasukan kita kuat. Bukan sebab calon semata-mata. Lihat sahaja bekas Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) yang tewas dan hilang deposit di Langkawi. Itu buktinya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×