TANJUNG MALIM: Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Rahmatud Diniah Kampung Rahmat Changkat Sulaiman, Sungkai dekat sini mengalami masalah kekurangan bilik darjah untuk menampung jumlah murid yang semakin bertambah.
Ini menyebabkan sebahagian murid terpaksa menduduki peperiksaan pertengahan tahun di luar bilik darjah, baru-baru ini.
Seorang guru di sekolah itu yang enggan namanya disiarkan berkata, sekolah itu mempunyai 144 murid Tahun 1 hingga Tahun 6 namun hanya mempunyai tiga bilik darjah sahaja.
Menurutnya, pada hari biasa, semua murid mengikuti pembelajaran di dalam bilik darjah dalam keadaan berkongsi kelas, seperti Tahun 1 dan Tahun 2 belajar dalam satu bilik darjah.
Namun, ketika musim peperiksaan, murid terpaksa menduduki ujian di luar bilik darjah kerana ruang sedia ada tidak mampu menampung kesemua pelajar secara serentak. Keadaan bertambah rumit apabila mereka dibenarkan duduk rapat akibat kekurangan kelas, sekali gus menjejaskan keselesaan dan fokus semasa menjawab soalan.
Mengikut perancangan awal, sekolah bercadang melaksanakan peperiksaan secara bergilir, murid Tahun 1 hingga Tahun 3 menduduki peperiksaan pada minggu ini, manakala Tahun 4 hingga Tahun 6 pada minggu hadapan.
Langkah ini memastikan murid dapat menjawab peperiksaan dalam bilik darjah yang selesa, namun, peraturan tidak membenarkan pihak sekolah memberikan cuti sesuka hati, menyebabkan tiada pilihan selain meneruskan peperiksaan serentak.
“Sebahagian murid terpaksa menduduki peperiksaan di luar kelas dalam keadaan kurang selesa.
“Sebagai penyelesaian sementara, kami menempatkan murid di sebuah dewan berhampiran sekolah bagi memastikan mereka dapat menjawab peperiksaan dalam keadaan lebih selesa dan teratur,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Seorang bapa, Hafazal Bahari, 51, berharap pihak berwajib segera menangani masalah kekurangan bilik darjah yang memaksa murid menduduki peperiksaan di luar kelas.
“Kami tidak sanggup melihat anak-anak terpaksa menjawab soalan dalam keadaan tidak selesa setiap kali musim peperiksaan,” katanya.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, setakat ini, bantuan Selenggara Naik Taraf oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah untuk menyelenggara dan memperbaiki bangunan sedia ada.
Jemaah pengurusan sekolah berusaha mendapatkan dana membina bilik darjah tambahan dan setakat ini, RM50,000 diperoleh menerusi peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim River, manakala baki dana masih dalam pertimbangan Menteri Besar Perak bagi membolehkan pembinaan tiga bilik darjah dilaksanakan. – UTUSAN











