300 kubur lama lebih seabad lenyap

300 kubur lama lebih seabad lenyap

MOHD. Taufik Mansor melihat sebahagian kubur lama lebih seabad di Kampung Bukit Puas di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kira-kira 300 kubur lama dipercayai lokasi persemadian penduduk le­bih seabad lalu lenyap akibat hakisan tebing Sungai Pahang iaitu di Kampung Sokti dan Bukit Puas di Mukim Pulau Tawar, di sini.

Penduduk mendakwa, sebahagian tanah perkuburan mula terjejas akibat hakisan ketika berlaku dua banjir besar pada 1971 dan peristiwa bah merah pada 2014.

Bekas Bilal Masjid, Mohd. Mokhtar Ngah, 78, berkata, lokasi dua kawasan perkuburan lama itu terletak berhampiran tebing Sungai Pahang yang sudah terhakis sejak sekian lama.

“Kebanyakan kubur lama berdekatan dengan tebing sungai kerap terdedah de­ngan hakisan dan runtuhan tanah (tebing) setiap kali berlaku banjir.

“Antara lokasinya adalah Kubur Besar dan Kubur Kundang terletak berdekatan tebing Sungai Pahang yang mempunyai nilai sejarah mengenai petempatan awal penduduk dan pembukaan kampung di mukim tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Bukit Puas, semalam.

Menurut Mohd. Mokhtar, difahamkan pengebumian terakhir jenazah di dua lokasi itu adalah 25 tahun lalu sebelum tapak kubur baharu dibuka di kampung berdekatan.

Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Puas, Mohd. Taufik Mansor, 50, berkata, sewaktu usia kanak-kanak, dia sering menziarah kubur saudara-mara di perkuburan lama itu terma­suk perkuburan ibunya yang meninggal dunia pada 1986.

“Terdapat lebih 500 ku­bur lama dan sebahagiannya telah hilang akibat hakisan tebing sungai setiap kali banjir,” katanya.

Dia mendakwa, terbaharu puluhan kubur lama itu di kawasan seluas lebih 50 meter panjang dan 20 meter lebar di pesisir sungai itu te­lah terhakis dalam kejadian banjir baru-baru ini.

“Sejak kubur baharu dibuka, kawasan ini sudah terbiar. Sepatutnya, kawasan ini dijaga dan pihak berkuasa ambil tindakan untuk mengelakkan hakisan terus berlaku,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×