3 rakyat Singapura antara didakwa edar kokain bernilai RM7.2 juta

3 rakyat Singapura antara didakwa edar kokain bernilai RM7.2 juta

EMPAT lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan mengedar dadah kokain dalam bentuk cecair. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat lelaki termasuk tiga warga Singapura berhadapan hukuman mati selepas dituduh di Mahkamah Majistret Ampang semalam atas pertuduhan mengedar dadah kokain dalam bentuk cecair melebihi sembilan liter, minggu lalu.

Kesemua tertuduh terdiri daripada seorang warga tempatan, Kong Sien Mee, 57, dan tiga warga Singapura iaitu Quek Kien Seng, 45, Tristan Chiew Jin Zhong, 25, serta Ivan Tan Zhi Xuan, 31.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md. Top kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar cecair kokain anggaran 9,420.2 ml (9.4 liter) di jalan keluar sebuah hotel di Ampang Jaya, Selangor pada pukul 11.45 pagi, 19 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sekurang-kurangnya 12 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Ramanathan Alias Ashwin manakala tiga tertuduh warga Singapura diwakili peguam bela, Ille Maryam Yusnawannie dan hanya Sien Mee tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 8 September ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.

Pada 19 Jun lalu, polis menumpaskan sindiket pengedaran rokok e-elektronik (vape) mengandungi cecair kokain yang dianggarkan bernilai RM7.2 juta melalui penahanan empat termasuk warga Singapura berhampiran sebuah hotel. 

Dalam serbuan kira-kira 11.45 pagi itu, tiga lelaki ber­usia antara 25 dan 57 tahun itu ditahan ketika berada dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) manakala seorang lagi dipercayai dalang sindiket ini berusia 31 tahun ditahan di lobi hotel terbabit. 

Pemeriksaan ke atas ken­deraan terbabit turut menemukan 10 kotak mengandungi sebanyak 4,958 katrij vape berisi cecair dadah kokain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×