Tegakkan kedaulatan syariah, undang-undang Islam

Tegakkan kedaulatan syariah, undang-undang Islam

MAHKAMAH Persekutuan pada 19 Jun lalu membatalkan fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terhadap Sisters in Islam (SIS), dengan alasan entiti berdaftar seperti syarikat tidak termasuk dalam takrifan ‘orang yang menganut agama Islam’ seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTUBUHAN IKRAM Malaysia (IKRAM) mengambil maklum keputusan Mahkamah Persekutuan pada 19 Jun lalu yang membatalkan fatwa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) terhadap Sisters in Islam (SIS), dengan alasan entiti berdaftar seperti syarikat tidak termasuk dalam takrifan ‘orang yang menganut agama Islam’ seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai sebuah gerakan Islam yang beriltizam membina sebuah negara rahmah berteraskan syariah Islam yang syumul, IKRAM ingin menggariskan beberapa pendirian berikut:

Islam sebagai teras perundangan dan moral sosial
IKRAM menegaskan Islam bukan sekadar agama ritual peribadi, tetapi merupakan sistem kehidupan yang lengkap (syumul) mencakupi aspek nilai, perundangan, tadbir urus dan pembinaan masyarakat.

Justeru, fatwa adalah antara instrumen penting dalam memelihara akidah dan moral umat Islam serta membentuk arah tuju sosial yang sejahtera.

Tanggungjawab individu tetap relevan
IKRAM menegaskan tanggungjawab peribadi terhadap agama kekal penting. Fatwa tetap boleh dikenakan terhadap individu Muslim termasuk pengasas, pemimpin atau ahli sesebuah organisasi sekiranya mereka terlibat dengan pemikiran atau tindakan yang menyeleweng daripada asas Islam, biarpun mereka berlindung di sebalik struktur organisasi atau entiti korporat.

Mengelakkan eksploitasi melalui entiti korporat
IKRAM memandang serius percubaan sesetengah pihak untuk menyebarkan fahaman yang menyeleweng dengan berlindung di sebalik entiti korporat seperti syarikat berdaftar. Walaupun entiti ini tidak diklasifikasi sebagai ‘orang Islam’ di sisi Perlembagaan, namun ia tidak boleh menjadi alasan untuk melindungi agenda yang bercanggah dengan Islam.

IKRAM mencadangkan agar kerangka undang-undang semasa dikaji dan diperkukuh, bagi mengelakkan manipulasi oleh individu atau kumpulan yang menyebarkan fahaman sesat melalui syarikat. Ia juga bagi memastikan entiti yang mendakwa membawa imej Islam tertakluk kepada semakan syariah telus dan berautoriti.

Penambahbaikan dan pengukuhan undang-undang Islam
IKRAM melihat keperluan untuk memperkasa pentadbiran dan perundangan berkaitan agama Islam melalui penambahbaikan struktur fatwa, prosedur pelaksanaan dan bidang kuasa.

Usaha ini perlu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan tanpa mengorbankan prinsip dan roh syariah. Ini termasuk memperjelas peranan dan pengiktirafan ke atas entiti Islamik dalam sistem undang-undang negara.

Negara rahmah: Tegas pada prinsip, lembut pada pendekatan
IKRAM menyeru agar semua nasihat agama dalam apa jua bentuk sekalipun dilaksanakan dengan pendekatan rahmah, mendidik dan membina.

Dialog terbuka, bimbingan dan proses islah (pembaikan) harus menjadi teras kepada teguran terhadap mana-mana pihak yang menyimpang, selari dengan sabda Nabi SAW dan roh dakwah Islam.

IKRAM terus komited memperjuangkan Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam, dengan pendekatan yang menghimpunkan ketegasan prinsip dan kelembutan hikmah, demi membina masyarakat madani yang adil, inklusif dan diredai Allah.

IKRAM menyeru seluruh pihak termasuk institusi agama, badan kehakiman, organisasi masyarakat sivil dan rakyat Malaysia untuk terus bersama-sama membina Malaysia sebagai negara rahmah berteraskan syariah yang adil, kebebasan beragama dalam kerangka Islam dan pemeliharaan akhlak serta maruah insan.-UTUSAN

BADLISHAH SHAM BAHARIN
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×