JABATAN Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) komited dalam memastikan pematuhan penuh terhadap undang-undang perburuhan negara menerusi pelaksanaan operasi penguatkuasaan secara turun padang di premis syarikat perkhidmatan dan pembersihan di Labuan.
Operasi penguatkuasaan bersepadu ini adalah antara mekanisme dalam memastikan kebajikan pekerja terjaga sekali gus menyangkal dakwaan pihak antarabangsa yang mengatakan negara mengamalkan buruh paksa.
Operasi ini memperlihatkan kerjasama antara JTKSM dengan agensi sahabat iaitu Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP).
Kekuatan keseluruhan anggota operasi adalah seramai 40 orang pegawai penguatkuasa.
Hasil operasi ini, sejumlah 51 orang pekerja tempatan dan seorang asing diperiksa dengan latar belakang berbeza. Pekerja asing ini terdiri dari negara seperti Indonesia.
Antara kesalahan yang dikesan dibawah akta-akta yang dikuatkuasakan oleh JTKSM adalah kegagalan majikan mematuhi Perintah Gaji Minimum dan Akta Kerja 1955.
Majikan didapati membayar gaji dibawah paras minimum Seksyen 43, Perintah Gaji Minimum Pindaan 2024.
Kesemua kesalahan ini akan diambil tindakan untuk membuka kertas siasatan bagi tindakan kompaun dan pendakwaan selaras dengan akta-akta berkaitan.
Selain daripada itu, agensi sahabat juga dapat mengesan kesalahan dibawah Akta PERKESO: Peraturan 10 (3) dan Seksyen 14 (1) Akta 800. Bagi KWSP kesalahan yang dikesan adalah majikan gagal membuat caruman (Akta KWSP 1991) dan untuk kesalahan dibawah Akta JIM adalah pelanggaran Peraturan 39 (B) Peraturan- peraturan Imigresen 1963 pemegang Pas Lawatan (Kerja Sementara).
JTKSM bersama jabatan dan agensi sahabat akan terus mempergiatkan pelaksanaan operasi dan penguatkuasaan selaras perundangan di bawah bidang kuasa yang diperuntukkan.
Penguatkuasaan ini amat penting sebagai langkah proaktif kementerian dalam membanteras ketidakpatuhan terhadap mana-mana akta perburuhan. Selain itu, penguatkuasaan ini perlu dilakukan secara konsisten demi memastikan kebajikan pekerja tempatan mahupun asing dipelihara dan keharmonian perburuhan negara terus diperkasa selain bagi membanteras amalan buruh paksa menjelang tahun 2030.-UTUSAN
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia










